Baru-baru ini satu kes rompakan berlaku di Taman Mastiara, Jalan Ipoh di sini melibatkan sekumpulan lelaki berparang dan melarikan barangan bernilai lebih RM70,000.

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini satu kes rompakan berlaku di Taman Mastiara, Jalan Ipoh di sini melibatkan sekumpulan lelaki berparang dan melarikan barangan bernilai lebih RM70,000.

Perompak memasuki rumah teres dua tingkat terbabit pada pukul 4 pagi sebelum bertindak mengugut akan mencederakan isteri dan anak mangsa sekiranya mereka menjerit bagi meminta bantuan.

Ia membuatkan kanak-kanak terlibat trauma dan merisaukan penduduk sekitar kawasan berkenaan.

Salah seorang pembaca MalaysiaGazette yang dikenali sebagai Muhd Sultan berkata, kejadian itu berlaku kepada abang saudaranya sendiri.

“Beliau dirompak dan perkara ini telah banyak kali berlaku di tempat ini dan rakyat di sini tidak berasa selamat selepas kejadian ini berlaku,” dakwanya.

Beliau juga mendakwa perkhidmatan pengawal keselamatan di taman perumahan berkenaan tidak memuaskan.

Security di tempat kami ini sangat tidak memuaskan kerana sistem tidak betul dan mereka kerja sambil lewa sesiapa sahaja boleh masuk dan keluar tanpa pengetahuan
Ini menyebabkan kesusahan kepada penduduk-penduduk di sekitar taman ini,” dakwanya.

Beliau mendakwa kejadian rompakan dan samun sudah banyak kali berlaku di Taman Mastiara sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat.

Justeru ramai pihak mahu pihak berkuasa termasuk Ahli Parlimen Batu berbuat sesuatu bagi menangani apa yang berlaku.

Malah, katanya, sebelum ini banyak kejadian samun pada waktu siang termasuk kejadian dua beranak dicederakan selain kejadian ragut.

Ada juga berlaku kejadian seorang pekerja pembaiki penghawa dingin kehilangan bateri kereta semasa melakukan servis di sebuah rumah di taman yang sama. – MalaysiaGazette