Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa meluangkan masa menanam pokok pada Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membenarkan operasi restoran dan kedai makan kini dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pekeliling baharu mengenai lanjutan waktu itu akan dikeluarkan oleh DBKL esok.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini.

“DBKL laksana atas keputusan dibuat Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Wilayah Persekutuan di bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan mengenai dasar berkaitan PKP.

“Biasanya keputusan dibuat MKN dan DBKL jadi pelaksanaanya. Keputusan sebelum ini, di mana CMC buat keputusan supaya kedai-kedai hanya dibuka pukul 12 malam.

“Namun baru-baru ini, Menteri Kanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) buat keputusan kedai makan boleh dibuka hingga 2 pagi. Jadi atas kereta tadi, saya dan Datuk Bandar Kuala Lumpur berbincang dan saya bisik-bisik tapi tidak mengarahkan.

“Saya kata MKN sudah beri kelonggaran itu dan Datuk Bandar bagi pandangan restoran-restoran ini rugi sejak berapa bulan kerana tidak boleh meniaga langsung.

“Jadi bila sudah buka boleh meniaga tiga empat jam, tambah enam jam, lapan jam dan sekarang tambah dua jam sampai 2 pagi eloklah beri mereka peluang untui tambah pendapatan selari dengan keputusan MKN.

“Esok, Datuk Bandar akan keluarkan perkeliling baharu mengenai lanjutan pukul 2 pagi. Selamat menonton bola di kedai mamak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka kini dilanjutkan sehingga pukul 2 pagi.

Sebelum ini waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka ditetapkan sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Namun semalam DBKL memaklumkan, semua operasi premis perniagaan di Wilayah Persekutuan masih dikekalkan sehingga pukul 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

DBKL dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diputuskan pada mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, keseragaman waktu itu adalah bagi memudahkan pemantauan oleh agensi terbabit serta DBKL. – MalaysiaGazette