Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengagihkan bubur asyura kepada penduduk parlimen Taman Titiwangsa pada Program Bubur Asyura di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 14 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyemak semula syarat-syarat arahan pembangunan sebelum diberikan kepada kontraktor bagi mengelak insiden banjir kilat  berulang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A.Dahlan berkata, ia bagi memastikan kontraktor mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk memastikan sistem perparitan sentiasa dalam keadaan baik.

“Kita akan mengawal dari segi syarat-syarat (sebelum) kita luluskan arahan pembangunan supaya kontraktor menjaga utiliti ini daripada diabaikan semasa kerja-kerja pembinaan.

“Bukan setakat kerana longkang atau saliran yang tidak diperbaiki. Ia lebih kepada hujan lebat. Kemungkinan besar juga kerana pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur,” katanya selepas Program Bubur Asyura anjuran Majlis Perwakilan Penduduk Setiawangsa dengan kerjasama DBKL di Tasik Titiwangsa hari ini.

Khamis lalu, Kuala Lumpur dilanda banjir kilat yang terburuk dalam sejarah selepas hujan lebat selama dua jam pada sebelah petang.

Terdapat lima kawasan utama dinaiki antara 1 hingga 1.5 meter.

Lima kawasan tersebut ialah Lebuh Ampang (1.5 meter), Jalan Raja Alang, Kampung Baru (1 meter) dan Jalan Gurney Kiri Off Jalan Semarak (1 meter) manakala berlaku limpahan air di Lorong Ayer Leleh dan Jalan San Ah Wing.

Dalam pada itu, sebelum semakan itu dibuat, DBKL perlu menyemak laporan insiden banjir kilat itu daripada pihak ketiga termasuk agensi lain dan pihak pemaju berhubung jumlah kerugian dan pihak yang terjejas, kata Nor Hisham.

“Kita sedang dalam masa kajian lagi, sebab ia bukan libatkan DBKL saja tapi menyebabkan agensi lain. DBKL dan saya sentiasa membantu.

“Laporan itu lebih kepada agensi lain, kalau DBKL punya itu (laporan) kita boleh bagi. Kita punya ada (laporan), sebab itu ada hotspot (banjir),” katanya.

Dalam perkembagan sama, DBKL berhasrat mendalamkan kolam takungan banjir sedia ada agar mampu menampung jumlah air yang banyak jika hujan lebat.

“Kita juga sedang mengenal pasti lombong atau tasik yang sesuai untuk dijadikan kolam takungan banjir.

“Bagi perumahan baharu, DKBL akan memastikan kontraktor membina kolam takungan banjir dalam kawasan setiap pembinaan.

“Walaupun ia membabitkan kos yang tinggi, namun kemudahan itu perlu disediakan kerana membabitkan kepentingan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai agar menjaga kebersihan Kuala Lumpur dalam menentukan insiden banjir kilat tidak berulang.

“Kita mengharapkan orang ramai membantu kami memaklumkan kepada orang ramai janganlah buang sampah dalam longkang dan pelbagai lagi.

“Kita mengharapkan kerjasama daripada semua sebab Kuala Lumpur adalah kita punya. Kalau kita tak jaga Kuala Lumpur ini siapa nak jaga lagi, kita lah sebagai warga Kuala Lumpur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette