KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal gejala buli dan dera dalam kalangan pelajar masih berlaku di peringkat sekolah.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertindak segera bagi menangani isu tersebut.
“Budaya sial dalam kalangan pelajar mendera kawan masih berleluasa. Kejadian sedemikian berterusan meskipun pernah mengakibatkan kematian dan kecederaan parah.
“Saya menuntut pihak sekolah, Kementerian Pendidikan dan PDRM untuk bertindak segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, video kejadian buli yang berlaku perlu disebar luas sehingga tindakan tegas diambil terhadap pelaku.
Presiden PKR itu turut berkongsi satu video kejadian buli yang berlaku di Tanah Merah, Kelantan.
Sebelum ini tular di laman sosial apabila tiga pelajar dipercayai membelasah rakannya di sebuah asrama sekolah menengah.
Ketiga-tiga pelajar terbabit ditangkap pihak berkuasa dan direman empat hari bermula 10 September lalu.
Ketiga-tiga remaja itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – MalaysiaGazette