Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

MELAKA – Beberapa isu standardisasi melibatkan sektor perhotelan dan Airbnb seperti peraturan dan cukai akan dimuktamadkan tidak lama lagi, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, langkah untuk memberikan nafas baharu kepada industri pelancongan terutamanya pengendali hotel menjadi pihak paling terkesan akibat Covid-19 kerana mereka lebih terikat kepada peraturan berbanding pengendali Airbnb.

Ini juga merupakan usaha kerajaan bagi membantu menghidupkan semula sektor pelancongan bagi memulihkan semula ekonomi negara, tambahnya.

Menurut Mustapa, perbincangan mengenai perkara tersebut masih dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerajaan-kerajaan negeri dengan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bagi menyelesaikan isu-isu tersebut.

“Dalam perniagaan, kita mempunyai konsep “padang yang rata” yang bermaksud kita perlu adil kepada semua.

“Jadi, jika satu-satu pihak terikat dengan pelbagai peraturan manakala satu lagi sektor tidak, sudah tentu perkara ini tidak adil,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri majlis makan malam dan perbincangan dengan pemegang taruh industri pelancongan di sini malam tadi. – MalaysiaGazette