Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin.

KUALA LUMPUR – Memuji dan mensyukuri nikmat tuhan dizahirkan dengan menyebut Asma’ul Allah dan tiada apa yang lebih terbaik selain berdoa dan bermunajat kepada Allah.

Lafaz kesyukuran itu juga menceritakan keberadaan pasangan sejoli Fattah Amin dan Nur Fazura yang sentiasa tabah dan terus berdoa untuk menerima kurniaan pewaris keluarga yang bakal menambahkan ikatan kasih sayang antara mereka.

Selepas berkongsi mengenai kehamilan isteri tercinta, pelakon, Fattah Amin sekali lagi memberikan khabar gembira buat seluruh peminatnya apabila muncul dengan single Islamik bertajuk Kiriman Agung.

Istimewanya, lagu hasil ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik bersama Fedtri Yahya itu dibuat khas untuk anak sulung yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Malah, lagu terbitan syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu juga adalah percubaan pertama Fattah, 30, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin menyanyikan lagu dalam genre nasyid atau ketuhanan.

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi, Insya Allah. Lagu ini lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan. Bagi saya, lagu ini bukan sahaja untuk saya tapi juga buat mereka yang bakal bergelar bapa.

“Malah, untuk lagu ini keseluruhan idea dan konsep datang daripada saya. Saya bagi direction kepada Hafiz dan Fedtri untuk buat lagu ini.

“Saya ceritakan pada mereka macam mana yang saya mahukan untuk lagu ini. Jadi, secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan pada pendengar,” katanya.

Fattah Amin memberikan khabar gembira buat seluruh peminatnya apabila muncul dengan single Islamik, Kiriman Agung.

Kombinasi antara muzik, lirik dan lontaran vokal daripada Fattah menjadikan naskhah itu ebih bermakna dan kelainan untuk Fattah yang pertama kali berkarya dalam genre itumenjadikan satu ekperimentasi yang terbaik supaya dapat menjengah ke liputan peminat yang lain daripada sebelum ini.

Fattah yang juga penyanyi lagu Wanita Terindah berkata, tercetusnya idea menghasilkan lagu selepas dia melancarkan lagu Bebas.

“Selepas lagu Bebas yang mengangkat tema semangat dan inspirasi, dari situ saya terfikir nak buat pula lagu ketuhanan iaitu genre yang belum pernah saya buat.

“Apabila saya sampaikan idea ini pada Universal Music Malaysia, saya fikir kenapa tidak buat lagu yang kena dengan keadaan saya sekarang. Apabila ia dipersetujui, saya pun terus sampaikan idea pada Hafiz yang juga penerbit lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai genre lagu ini, Fattah yang juga pelakon filem Special Force menyifatkan ia peluang terbaik untuk dirinya mencuba sesuatu yang baharu.

Malah, Fattah berkata, merakamkan lagu genre itu memberikan pengalaman baharu buat diriya sebagai penyanyi.

“Sebenarnya saya sudah lama nak nyanyi lagu ketuhanan atau Islamik tapi, ini pertama kali dapat peluang daripada Universal Music Malaysia dan dapat pula berkolaborasi dengan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya.

“Saya berasa ia peluang terbaik buat saya untuk mulakan dengan genre ini. Malah, kalau ikutkan juga saya sudah lama nak buat lagu ini, tapi belum ada waktu sesuai. Jadi, apabila dapat masa terbaik saya putuskan untuk rakam.

“Nak cakap susah atau tak, tentu sahaja susah. Apatah lagi ini percubaan pertama saya sebab tak pernah nyanyi lagu bergenre ini. Tapi, alhamdulillah dapat tunjuk ajar daripada penerbit. Jadi, kami bersama-sama berusaha sehabis baik dalam menghasilkan lagu ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya yang cukup terbaik,” katanya.

Kiriman Agung kini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.

Sama seperti single yang dihasilkan sebelum ini, Fattah juga meletakkan harapan agar lagu itu dapat diterima baik pendengar muzik tempatan.

Dalam masa sama, Fattah berkongsi dia masih dalam perancangan untuk menghasilkan video muzik lagu itu.

Kiriman Agung sudah boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 11 September lalu. – MalaysiaGazette