KUALA LUMPUR -Lelaki yang membuat ‘aksi sarkas’ ketika menunggang motosikal di Jalan Kuching, kelmarin telah menyerah diri kepada pihak polis malam tadi.

Dia direman hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya memaklumkan, suspek berusia 36 tahun ditahan selepas datang ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee pukul 8.45 malam.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Keputusan ujian saringan berkenaan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Zulkefly memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kelmarin, tular sebuah video menunjukkan aksi seorang lelaki menunggang motosikal sambil meletakkan kedua-dua belah kakinya pada pedal pemulas.

Video berdurasi 41 saat itu memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal secara berbahaya sambil kedua-dua belah tangannya sedang memegang bungkusan air.

Video berkenaan menerima pelbagai reaksi dari netizen yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal berkenaan.

Susulan video tersebut, polis menerusi kenyataan media memaklumkan sedang mengesan lelaki terbabit untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette