Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid

PUTRAJAYA- Inisiatif dan insentif yang diumumkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) bukan sahaja memberi suntikan kepada individu atau industri tertentu sahaja tetapi turut bertindak sebagai serampang dua mata.

Yang pasti matlamat utamanya adalah untuk merangsang keseluruhan ekonomi menerusi impak berganda yang akhirnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan, ini berlaku kerana kerajaan sebagai ejen rangsangan ekonomi yang mempunyai sumber yang besar perlu memastikan pertumbuhan negara tidak terus merudum apabila sesuatu kejutan melanda dan sektor swasta pula tidak berani untuk berbelanja.

“Pengecualian cukai kepada individu yang mahu melancong di dalam negara. Ini satu contoh yang baik.

“Jika kita tengok pada tahun lepas industri pelancongan domestik bernilai RM103 bilion dan satu pertiga daripada jumlah berkenaan digunakan untuk membeli-belah dan bakinya untuk kegunaan-kegunaan lain seperti hotel, pengangkutan, makan minum dan sebagainya.

“Jadi, meskipun nilainya (pengecualian cukai) itu hanya RM1,000 bagi setiap individu namun kesan rantaiannya meluas apabila permintaan terhadap hotel-hotel, kedai makan atau restoran, sektor pengangkutan serta perniagaan-perniagaan lain di kawasan sekitarnya turut mendapat hasil daripada limpahan ekonomi tersebut.

“Ini bukan sahaja memberi nafas kepada industri berkaitan pelancongan malah turut menyelamatkan lebih ramai pekerja daripada menganggur,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Temubual eksklusif Malaysia Gazette bersama Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkenaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 07 SEPTEMBER 2020

Tambah Dr. Afzanizam, pemberian tunai e-PENJANA yang disalurkan melalui platform e-dompet juga antara contoh langkah serampang dua mata oleh kerajaan.

Selain dapat memberikan wang tunai sebanyak RM50 kepada rakyat yang berpendapatan menengah sehingga rendah untuk berbelanja, ia juga adalah untuk menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam masyarakat terutamanya dalam kalangan peniaga.

“Ada peniaga terutama yang kecil-kecil ini masih belum menyediakan kemudahan pembayaran tanpa tunai kepada pelanggan.

“Saya nampak pemberian e-PENJANA selain untuk merangsang ekonomi melalui perbelanjaan domestik.

“Ianya juga adalah untuk menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam masyarakat kerana apabila lebih ramai pelanggan menggunakan e-dompet maka lebih banyak peniaga yang merasakan perlu menyediakan platform pembayaran untuk transaksi sedemikian, ” katanya lagi.

Selain itu, langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah PENJANA juga dilihat bukan sahaja untuk mengurangkan beban usahawan yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah membantu mengawal kadar pengangguran supaya tidak melonjak terlalu tinggi.

Ia juga adalah untuk memastikan industri yang memberi sumbangan besar iaitu kira-kira 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu tidak berkubur selepas pandemik berakhir.

PENJANA dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lalu.- MalaysiaGazette