Bekas pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor diiringi pengawai SPRM hadir berhubung siasatan kes membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Rizal Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor tidak pernah meminta suapan untuk dirinya sendiri atau meminta wang secara terus daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin bagi projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bekas pegawai khas Rosmah itu juga bersetuju dengan peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu bahawa Rosmah tidak pernah meminta wang secara terus daripada rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah berkaitan dengan projek itu.

Rizal, 46, berkata beliau mengatur pertemuan pertama antara Rosmah, Saidi dan Rayyan di rumah Rosmah di Langgak Duta antara Januari dan Februari 2016 bagi tujuan derma politik dan saksi juga bersetuju dengan peguam bahawa beliau bertanggungjawab untuk melibatkan Rosmah dalam perkara ini.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Jagjit dalam perbicaraan Rosmah yang menghadapi satu pertuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi.

Jagjit: Walaupun anda melibatkan Datin Seri Rosmah (dalam perjumpaan tersebut), pada masa itu, beliau tidak pernah meminta suapan atau wang.

Rizal: Ya.

Saksi utama pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa Jepak berhasrat untuk memberi sumbangan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penghargaan kepada bekas perdana menteri itu kerana memberikan peluang kepada syarikat tersebut serta bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Ditanya Jagjit sama ada mereka berhasrat menyumbangkan wang itu menerusi Rosmah kerana Saidi dan Rayyan tidak mahu mengganggu Najib, Rizal menjawab: Ya.

Jagjit: Saya katakan kepada anda, keterangan anda bahawa Saidi dan Rayyan memberikan sumbangan politik yang besar kepada Rosmah adalah pernyataan yang palsu. Ini kerana dalam pernyataan saksi anda, anda menyebut ‘menerusi Rosmah’ dan bukan ‘kepada Rosmah.’

Rizal: Ya, saya salah pilih perkataan.

Rizal juga berkata beliau berhasrat bertanding bagi merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2017 dan saksi tersebut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau memerlukan banyak wang untuk tujuan itu.

“Anda setuju bahawa wang itu, yang dapat membantu anda mencapai cita-cita politik untuk menjadi Ketua Pemuda UMNO, adalah wang korup. Anda menerima wang korup untuk tujuan ini,” kata Jagjit dan saksi itu menjawab: Ya.

Rizal juga berkata beliau tidak pernah memaklumkan Rosmah mengenai hasratnya untuk menjadi calon Ketua Pemuda UMNO dan bersetuju dengan peguam bahawa beliau telah melakukan banyak perkara tanpa pengetahuan Rosmah.

Rosmah, 68, didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast