Sebahagian peserta memegang poster bantahan ketika menyertai Himpunan Rakyat Tolak Israel Masuk Malaysia di dataran Masjid Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 01 FEBRUARI 2019

TINDAKAN Bahrain yang mengikuti jejak langkah negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel adalah satu bentuk pengkhianatan besar kepada perjuangan bertahun-tahun rakyat Palestin atas segala kekejaman dan penindasan oleh Israel kepada mereka. Tindakan yang dilakukan oleh Bahrain ini jelas menunjukkan kepada kita semua betapa lemahnya semangat solidariti atau persaudaraan sesama Islam yang sering dilaung-laungkan oleh semua negara Islam sebelum ini. Langkah yang diambil oleh Bahrain ini juga telah meletakkan diri mereka sebagai negara Islam keempat dalam kalangan negara- negara Islam yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan mengiktiraf kewujudan Israel selepas Mesir, Jordan dan UAE. Terdapat 57 buah negara Islam di seluruh dunia.

Tindakan yang diambil oleh Bahrain dan UAE ini dibimbangi akan menyebabkan lebih banyak negara-negara Islam yang lain akan mengambil langkah yang sama untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, sekali gus memberi pengiktirafan kepada kewujudan Israel sebagai sebuah negara. Semua negara perlu tahu dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dan mengiktiraf kewujudan Israel, mereka juga mengiktiraf segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin. Buat sekian lama, Israel telah mengetepikan banyak peruntukkan undang-undang antarabangsa dengan melakukan pelbagai jenis kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Terdapat juga usaha diambil oleh pihak Israel serta pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dengan Israel untuk menafikan kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka seperti pengistiharan Bandaraya Baitulmaqdis secara satu pihak sebagai ibu kota Israel pada penghujung tahun 2017 yang lalu. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu sendiri melalui kempen politiknya banyak kali menyatakan hasratnya untuk mengambil beberapa kawasan milik Palestin di Tebing Barat sebagai wilayah mutlak Israel.

Ini jelas menunjukan Israel memang tidak memiliki sebarang hasrat untuk berdamai dengan Palestin. Malah tidak memiliki sebarang hasrat untuk membenarkan kewujudan sebuah negara Palestin. Sudah ramai rakyat Palestin yang telah menjadi mangsa kepada kekejaman dan penindasan oleh Israel termasuklah warga tua, kaum wanita dan golongan remaja dan kanak-kanak. Pada masa yang sama juga, Israel telah melanggar berpuluh-puluh peruntukkan undang-undang antarabangsa dan beratus Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok pemisahan ditanah milik Palestin, serta menafikan hak jutaan pelarian Palestin yang berada di sekitar negara-negara Arab untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Daripada mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, satu tindakkan tegas perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang bertamadun serta yang berpandukan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan ialah dengan menyingkir Israel terus dari PBB. Israel perlu diingatkan bahawa penubuhan negaranya pada tahun 1948 yang lalu banyak terhutang budi kepada PBB sendiri. Pada tahun 1947, PBB telah memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British di Palestin. Keputusan terbabit telah ditentang keras oleh negara-negara Timur Tengah dan banyak negara Islam di serata dunia.

Sejak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah telah ditimbul oleh Israel terutamanya terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri. Di antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 adalah untuk mengelakkan perulangan konflik dan pertikaian yang hebat, menegakkan prinsip hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia.

Semua matlamat yang dinyatakan di dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 jelas tidak dipatuhi oleh Israel sejak penubuhan negara mereka lebih 70 puluh tahun yang lalu. Oleh yang demikian, sewajarnya Israel disingkir terus dari PBB. Perkara 6 Piagam PBB 1945 terbabit turut menyatakan dengan jelas bahawa ”Ahli Bangsa- Bangsa Bersatu yang telah berterusan melanggar Prinsip yang terkandung dalam Piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan”. Walaupun cadangan penyingkiran Israel dari PBB ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan dari sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang
menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat dibawah pimpinan Presiden Donald J. Trump namun langkah atau usaha yang patut diambil ini sekurang-kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel dan sekutunya bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam dan hanya melihat terhadap segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin. Pada masa yang sama juga langkah penyingkiran Israel dari PBB ini juga dapat memberi sokongan moral tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin daripada kalangan masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan mereka.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)