TAWAU – “Alhamdulillah, saya telah mencapai impian untuk jadi calon di kawasan DUN Balung”.

Itu luahan hati terharu calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Hamild@Hamid Awang tentang perjalanan karier politik beliau yang akhirnya dicalonkan mewakili parti itu.

Kata Hamild, 65, beliau menghabiskan tempoh 40 tahun dalam perjuangan UMNO dan pencalonan ini adalah hadiah atas berkat kesabarannya selama ini.

“Saya amat gembira kerana ini adalah peluang yang ditunggu-tunggu selama ini dalam perjuangan selama 40 tahun memperjuangkan BN.

“Saya telah mencapai impian saya untuk jadi calon di kawasan DUN Balung. Terima kasih kepada kepimpinan UMNO Sabah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hamid merupakan calon muka baharu yang dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan kerusi itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung.

Penyandangnya, Datuk Osman Jamal bertindak keluar parti dan menyokong Warisan dan membentuk kerajaan negeri yang baharu, dua tahun lalu.

Selain Osman, empat daripada mereka adalah ADUN UMNO iaitu Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu), Datuk Hamisa Samat (Tanjung Batu) dan Jamawi Jaafar (Kemabong).

Dua lagi ADUN ialah dari Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) iaitu Ewon Benedict (Kadamaian) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan).

Hamild dalam pada itu turut berjanji akan berusaha keras untuk mengekalkan kerusi milik BN itu.

“Kita akan pastikan bahawa kerusi BN di DUN Balong ini kekal dengan berusaha meningkatkan ekonomi para penduduk dan juga infrastruktur.

“Kita akan ambil berat tentang belia untuk memastikan mereka diberi peluang bersama-sama wanita kita yang ada di kawasan ini,” katanya lagi.

Kerusi N67 Balung menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Hamild, Abdul Hamid Damang dari Parti Cina Sabah (PCS), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Warisan), Labosa @ Ghazali Jakilan daripada Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Abu Bakar Jambuan @ Omar daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Ariffin Kassim Ibong daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), dan Cyril Aloysius daripada Parti Liberal Demokratik (LDP). – MalaysiaGazette