Gambar hiasan

DETIK 16 September 1963 telah melakar sejarah pembentukan sebuah negara
baharu bernama Malaysia hasil penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama
Sabah, Sarawak dan Singapura. Sejak dari tarikh keramat itu kita dikenali secara
rasmi sebagai Malaysia sehingga ke hari ini. Tidak kira orang Melayu, Cina, India,
Kadazan, Susun, Bajau, Dayak, Melanau mahupun etnik minoriti yang lain semuanya
beridentitikan sebuah negara yang sama.

Walaupun Singapura kemudiannya menarik diri dan Brunei pula tidak berhasrat
untuk bergabung, namun pada akhirnya gabungan negeri-negeri di Semenanjung
bersama dengan Sabah dan Sarawak berjaya membentuk sebuah negara yang kuat,
bebas dan berdaulat sehingga ke hari ini. Justeru selama 57 tahun kita sudah hidup
sebagai sebuah negara yang menyatupadukan pelbagai etnik dan agama di bawah
satu bumbung yang aman, damai dan sejahtera. Jelas sekali kepelbagaian adalah
kekuatan utama kita.

Ironinya, sejarah penjajahan serta kemerdekaan tanah Melayu dan pembentukan
Malaysia telah melalui satu proses yang sangat panjang yang disulami pelbagai
cabaran serta onak ranjau yang berduri. Bukan mudah untuk kita menyatukan
semua negeri, wilayah dan lapisan masyarakat, serta bukan mudah juga untuk kita

berada pada kedudukan sekarang. Jadi kita perlu terus beriltizam untuk
mempertahankan apa yang ada ini supaya kehidupan, kebebasan dan kedaualatan
negara dan rakyat sentiasa terjamin dan terpelihara.

Dalam konteks ini sedarlah betapa kitalah benteng yang mampu mempertahankan
nasib dan masa depan kita, anak cucu dan juga negara. Ringkasnya, kitalah
Malaysia dan Malaysia adalah kita. Selepas 63 tahun merdeka dan 57 tahun
bergabung membentuk sebuah negara, kita sudah tidak boleh menoleh ke belakang
lagi. Negara lain semakin berlumba-lumba maju ke hadapan, justeru kita tidak boleh
lagi membiarkan perkara-perkara yang boleh menganggu gugat keamanan,
perpaduan nasional dan kesejahteraan rakyat dan negara terus berlaku tanpa
noktah.

Tuntasnya, tidak boleh ada lagi ruang untuk persengketaan mahupun perselisihan
antara kaum serta ketidakseimbangan pembangunan antara negeri mahupun
wilayah. Inilah masanya untuk kita menjadi bangsa Malaysia yang bersatu padu dan
tidak lagi berpaksikan identiti kaum, etnik mahupun wilayah masing-masing.
Hakikatnya, kita adalah Malaysia, darah kita sama warnanya, kita bernaung di
bawah bendera yang satu dan kita adalah harapan dan benteng tanah bertuah ini.
Jadi semua kaum yang ada perlu menzahirkan kesepaduan dan perpaduan tanpa
berbelah bagi jika mahu terus mencipta kejayaan. Berbanggalah dengan satu identiti
yang sama sebagai satu bangsa yang kental dan mampu menjadi sebuah negara
yang maju mengikut acuan kita sendiri.

Hakikatnya, inilah satu-satunya negara yang kita ada. Terimalah dengan seadanya
apa yang kita ada ini. Terimalah kenyataan bahawa seluruh warga bumi bertuah ini
merangkumi orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Susun, Bajau, Dayak, Melanau dan
semua etnik minoriti yang lain adalah rakan dan saudara yang memiliki hubungan
yang sangat istimewa umpama air dicincang tidak akan putus. Baik ketika senang mahupun ketika susah kitalah yang akan saling bersama dan bantu membantu
antara satu sama lain.

Justeru sudah tiba masanya untuk kita meletak titik noktah kepada perkara-perkara
yang selama ini menjadi duri dalam daging yang cuba merosakkan perhubungan
sesama kita. Pertalian yang wujud antara kita perlu merentasi sempadan agama,
bangsa, negeri, wilayah dan politik perkauman sekali gus kita perlu fokus untuk
terus memajukan negara yang disayangi ini. Jangan kita persia-siakan jasa dan
sumbangan tokoh-tokoh besar yang merintis jalan ke arah pembentukan Malaysia
seperti, Tunku Abdul Rahman, Tun Datu Mustapha, Tun Muhammad Fuad Stephens,
Tun Temenggong Jugah Anak Barieng serta yang lain-lain. Ingat, kerana mereka kini
kita bersatu sebagai sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

Ayuh warga sekalian, sedarlah Malaysia itu merangkumi, Perlis, Kedah, Pulau
Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan,
Terengganu, Sarawak dan Sabah. Usah dibeza mahupun dibandingkan sesama kita
lagi. Kita perlu terus berusaha untuk memajukan setiap negeri dan setiap etnik yang
ada dalam segala aspek supaya pada akhirnya negara kita boleh menjadi negara
maju secara total. Tuntasnya, negara bertuah ini negara kita bersama dan kita
adalah Malaysia! Selamat Menyambut Hari Malaysia.

Penulis adalah pentadbir di universiti awam dan penganalisis isu semasa