KUALA LUMPUR – Tiga mata berharga yang diperolehi pada minggu keenam saingan Liga Premier meletakkan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur kini pada kedudukan yang cukup selesa dalam memburu slot ke saingan CIMB Liga Super pada musim depan.

Pendahulu Liga Premier, Pulau Pinang, berjaya mengatasi cabaran sengit Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin melalui kemenangan 2-1 sementara Kuala Lumpur mudah menjinakkan Terengganu FC II, 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira berkata, kemenangan itu adalah tonik terbaik bagi skuad Harimau Kumbang yang tidak mahu terlalu memikirkan soal kejuaraan sebaliknya lebih memberi fokus untuk segera mendapatkan slot ke CIMB Liga Super.

Tambahnya, aksi bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya pada Sabtu ini adalah aksi yang cukup penting kerana kemenangan akan meletakkan Pulau Pinang sebelah kaki ke pentas CIMB Liga Super.

“Ini adalah tiga mata yang luar biasa kami beroleh di Johor kerana lawan adalah pasukan yang hebat dan kemenangan ini nyata mencetus semangat tinggi dalam kalangan pemain ketika berbaki empat perlawanan kerana kami mahu seberapa segera layak ke Liga Super.

“Saya cukup teruja melihat komitmen yang diberikan oleh Casagrande kerana sentiasa berikan semangat kepada rakan sepasukan selain kualiti yang ditunjukkan Lee Chang Hoon kerana menjadi pencetus gol kemenangan yang dijaringkan Endrick (dos Santos).

“Berdepan Kuala Lumpur yang merupakan pesaing terkuat kami dalam liga kerana mempunyai ramai pemain berpengalaman, nyata bukan satu tugas yang mudah.

“Kami perlu memastikan segala perancangan dan taktikal kena betul supaya tiga mata dapat dicari bagi menjarakkan perbezaan jaringan dan mata dengan pasukan lawan, ” katanya kepada Malaysia Football League di sini.

Pada aksi Sabtu lalu, Khairu Azrin Khazali meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit keempat namun disamakan pemain JDT II, Feroz Baharuddin pada minit-30 sebelum Endrick dos Santos meledak gol kedua yang juga jaringan kemenangan pada minit-44.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff juga senada dengan Manzoor yang mahu memberi tumpuan mendapatkan slot ke CIMB Liga Super sambil tidak mahu menganggap aksi dengan Pulau Pinang sebagai penentu kejuaraan Liga Premier.

Apa yang penting buat Nidzam buat masa ini, beliau cukup berpuas hati dengan lonjakkan prestasi para pemain ketika menang besar ke atas Terengganu FC II walaupun terdapat sedikit kesilapan di barisan pertahanan.

“Saya rasa ada benda kita kena tingkatkan lagi dari perlawanan ke setiap perlawanan dan seperti mana hari ini, kami dalam menghukum lawan yang datang dengan skuad yang tidak seimbang kerana menggunakan empat pemain import di bahagian serangan.

“Aksi pasukan lawan kami telah kaji selepas bolos tiga gol pada aksi terakhir ditambah penggunaan empat pemain tempatan di barisan pertahanan, jadi kami perlu mengambil kesempatan yang ada.

“Buat masa sekarang, saya tidak fikirkan apa-apa mengenai kejuaraan liga walaupun ramai kata aksi dengan Pulau Pinang ini umpama penentu kejuaraan tetapi matlamat saya seperti mana kehendak pengurusan adalah layak ke Liga Super pada 2021, “ katanya.

Pada aksi lain, Kuching FA akhirnya meraih kemenangan sulung mereka di Liga Premier apabila menewaskan jiran setempat, Sarawak United FC, 2-1 di Stadium Negeri sementara Negeri Sembilan menghidupkan peluang mereka memburu tempat ke Piala Malaysia apabila menang tipis 2-1 bertemu Selangor 2.

Kelantan juga meraih tiga mata penting hasil kemenangan 1-0 berdepan Perak II manakala satu-satunya perlawanan pada Jumaat, Faiz Hanif Adnan muncul wira UKM FC menerusi gol kemenangan pada minit-89 untuk mengecewakan Kelantan United FC 1-0 di Stadium Selayang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast