KUALA LUMPUR – MMANTAP Sdn. Bhd dan JR Joint Resources Holdings Sdn. Bhd (JR Joint) memeterai perjanjian kerjasama untuk menyediakan penyelesaian pengurusan bagi pekerja asing kepada China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL), kontraktor utama untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kerjasama ini wujud selepas perjanjian terjalin antara JR dan ECRL.

JR dilantik untuk menyediakan perunding dan penyedia perkhidmatan bagi projek ECRL dengan merekrut, memohon dan mengurus penyelesaian pekerja asing.

MMANTAP adalah anak syarikat kepada MMAG Holdings Berhad yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

Syarikat itu terlibat dalam perniagaan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disokong oleh MMAG, juga penyedia penyelesaian 3PL dan 4PL.

MMANTAP akan bertanggungjawab untuk semua aspek ICT, logistik dan pengangkutan pekerja ke lokasi yang ditentukan dan semua aspek pembiayaan JR dalam pelaksanaan awal dan akhir Perjanjian ECRL.

Sementara di pihak lain, JR akan bertanggung jawab dalam semua perundingan dengan CCCECRL dan yang mana diperlukan, Kerajaan Malaysia dan pihak berkepentingan yang relevan di dalam atau di luar Malaysia.

Pengerusi MMAG, Datuk Rathakrishnan Vellaisamy menambah, kerjasama itu akan memberi MMAG platform yang menguntungkan dan prospek yang lebih baik di masa depan.

Ini kerana keuntungan daripada Perjanjian ECRL membolehkan JR berkongsi 70:30 untuk MMANTAP.

Oleh itu, ia mempunyai kemungkinan untuk menghasilkan aliran sumber pendapatan lain untuk perniagaan MMAG yang ada serta mengurangkan kebergantungannya pada perniagaan yang ada dalam waktu dekat. – MalaysiaGazette