gambar hiasan
Gambar hiasan Pulau Pangkor

LUMUT – Kerajaan negeri Perak telah memohon kepada Kementerian Kewangan agar melonggarkan syarat yang melayakkan seseorang pelancong di Pulau Pangkor menikmati kemudahan bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, syarat semasa iaitu perlu menginap selama dua malam atau 48 jam untuk menerima manfaat itu tidak sesuai dilaksanakan di pulau berkenaan kerana saiz Pangkor yang tidak begitu besar.

“…. ia juga tidak mempunyai bilik yang banyak buat masa sekarang. Aktiviti yang ada juga memadai untuk pelancong tinggal satu malam.

“Jika kita letakkan kelayakan dua malam atau 48 jam, kemasukan (pelancong) tidak tinggi. Bila benarkan 24 jam (layak dapat bebas cukai) ia akan tarik lebih pelancong datang dan bermalam,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-23 di sini, hari ini.

Mesyuarat yang julung kali diadakan di luar Putrajaya itu dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Pulau Pangkor menjadi pulau bebas cukai berkuat kuasa 1 Januari lalu, namun pengisytiharan rasmi status itu dijangka disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Menurut Ahmad Faizal, tiada sebarang tempoh masa yang diberikan oleh pihak Kementerian Kewangan berhubung permohonan kerajaan negeri itu yang dikemukakan pada mesyuarat hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga telah mengemukakan cadangan permohonan untuk menaik taraf jeti utama, jeti kargo dan zon pendaratan di Pulau Pangkor dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM300 juta.

“Kita usulkan agar kerajaan persekutuan dapat menimbang untuk membuka banyak zon pendaratan bagi kargo, pekerja yang keluar masuk, peniaga yang bawa masuk barangan supaya ada tempat sesuai dan tidak perlu bersesak dengan pelancong dan penduduk tempatan,” katanya menambah seramai 500,000 pelancong datang ke pulau itu sejak Januari lalu.

Ahmad Faizal, berkata kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan NCIA untuk  membawa lebih banyak pelaburan ke Perak sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast