Halimah Mohamed Sadique

KUALA LUMPUR – Kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada hari ini hasil kesediaan semangat perpaduan biarpun kita semua dibesarkan dalam suasana pelbagai agama, bangsa dan budaya.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique berkata, kekayaan budaya, kepelbagaian bangsa dan warna-warni kehidupan setiap rakyat Malaysia membentuk asas dan mencorakkan kemakmuran tanah air ini.

Begitu juga dengan kejayaan negara yang boleh diukur dan diungkapkan dengan pelbagai cara namun pencapaian yang paling bermakna buat semua adalah keteguhan perpaduan kita.

”Oleh itu, katanya, jangan sekali-kali kita mengambil mudah perpaduan yang dikecapi, sebaliknya usaha, kesedaran dan keinginan untuk melestarikan keharmonian antara kita semua harus terus diperkukuhkan,” dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia esok.

Halimah menambah, meskipun Hari Malaysia pada tahun ini diraikan secara sederhana ekoran penularan Covid-19, namun rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tetap terserlah dengan mengamalkan nilai-nilai yang menyatupadukan.

”Marilah kita sama-sama menyambut Hari Malaysia kali ini dengan penuh bersemangat semoga ini mengeratkan lagi silaturrahim sesama kita. Kesediaan ini tentunya akan terus mengekalkan sejahtera di bawah payung kedaulatan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette