KUALA LUMPUR – Kerajaan menggesa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam Banci 2020 melalui e-Census yang akan tamat dalam tempoh 15 hari lagi.

Pautan e-Census boleh dicapai melalui laman sesawang www.mycensus.gov.my

Sehingga kini, hanya 1.5 juta rakyat yang selesai mengisi e-Census dan angka tersebut masih di bawah sasaran kerana Malaysia mempunyai kira-kira 32.7 juta penduduk, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

”Dengan tempoh masa yang masih berbaki 15 hari, saya menyeru orang ramai untuk memanfaatkan pengisian e-Census yang akan tamat pada 30 September 2020 bagi mengurangkan kadar interaksi banci secara bersemuka yang akan berlangsung mulai 7 Oktober 2020,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) melalui dua fasa iaitu Fasa Pertama- E-Census sejak 7 Julai hingga 30 September 2020 dan Fasa Kedua-Secara Bersemuka (7-24 Oktober 2020)

Menurutnya, kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard yang ketat bagi operasi banci di tempat kediaman persendirian dan tempat kediaman institusi.

Ini termasuk Petugas Banci wajib mengguna pelitup muka dan cecair pembasmi kuman, mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi etika pembancian bagi Kawasan PKPD (temu ramah secara bersemuka tidak dibenarkan). – MalaysiaGazette