KPDNHEP merampas 10,040 liter minyak pelincir tiruan dalam satu serbuan di Subang Jaya, Selangor. Foto: KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Kira-kira 10,410 liter minyak pelincir tiruan bernilai RM111,300 telah dirampas dalam satu sebuan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Ibu Pejabat Putrajaya di sebuah gudang setingkat di Taman Industri dekat Subang Jaya, Selangor.

Selain itu, dua lelaki tempatan berumur 34 dan 53 tahun yang berada di tempat kejadian telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pemilik premis disyaki telah membuat atau memiliki suatu artikel salinan cap dagangan berdaftar atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap dagangan berdaftar tersebut.

Terdapat set komputer yang disambungkan dengan printer disyaki telah digunakan untuk menghasilkan tanda cap dagangan berdaftar berkenaan.

Label dan penutup tong cap dagang Shell juga dijumpai. Kesemuanya barang-barang tersebut beserta dokumen-dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil pemilik cap dagang, Shell mendapati terdapat pelbagai jenis minyak pelincir seperti Transformer Oil, Compressor Oil, Truck & Heavy Duty Engine Oil, Greese, dan Slideways Oils untuk kegunaan kenderaan berat dalam anggaran keseluruhan berjumlah 10,040 liter.

“Berdasarkan keterangan lisan daripada pengurus premis, minyak pelincir dari tong drum berkapasiti 200 liter telah dipindahkan secara manual ke dalam tong berkapasiti 20 liter bagi tujuan pasaran tempatan sekitar Lembah Klang yang dijual dalam lingkungan harga RM185.00 hingga RM240.00,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi berkenaan adalah hasil aduan wakil pemilik cap dagang berdaftar, Shell serta risikan yang dijalankan hampir dua minggu mendapati gudang berkenaan dijadikan tempat pembuatan minyak pelincir tiruan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu membuat atau memiliki suatu artikel yang direka secara spesifik untuk membuat salinan cap dagangan berdaftar atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa artikel itu akan,digunakan untuk, melakukan suatu kesalahan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi satu juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 5(a) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan suatu perihal dagangan palsu bagi apa-apa barang; yang apabila disabitkan jika orang ialah suatu pertubuhan, didenda tidak melebihi RM250,000.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast