Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri pelancongan seni dan budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu, 29, hadir atas enam pertuduhan rasuah berhubung dua tender kempen pengiklanan Tourism Malaysia 2018 dan 2019 di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 SEPTEMBER 2020.

SHAH ALAM – Bekas setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada bekas menteri Kabinet didakwa atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM106,500 berhubung projek perkhidmatan pengiklanan pelancongan.

Mohd Saifullah Mohd Minggu, 29, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik sahaja keenam-enam pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, Mohd Saifullah sebagai setiausaha sulit kanan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertugas di kementerian yang sama di Putrajaya didakwa telah menerima suapan daripada Ronald Seri Kong Seng, pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd.

Keseluruhan wang suapan itu sebagai upah tertuduh berjanji untuk mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif Bagi Pasaran Negara-Negara Asia Utara dan Asia Timur Tourism Malaysia kepada syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd.

Mohd Saifullah didakwa melakukan perbuatan itu di No 13, Jalan Menteri U1/85, Temasya Anggun, Glenmarie, Shah Alam; Petronas Dengkil, Jalan Baiduri, Pekan Dengkil; Burger King Kota Damansara dan Ambank Berhad Bandar Puteri, Puchong antara 21 Disember 2018 hingga 30 Mac 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asyraf Mohamed Tahir memohon keenam-enam pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi dibicarakan bersama 18 lagi pertuduhan pada 19 Ogos lalu.

Muhammad Asyraf juga memohon agar jaminan ke atas enam pertuduhan di Mahkmah Sesyen Shah Alam itu dikecualikan dan mengguna pakai jaminan RM200,000 yang dikenakan ke atas Mohd Saifullah, 19 Ogos lalu.

Bagaimanapun peguam, Md Yunos Shariff tidak membantah malah menyokong kedua-dua permohonan pihak pendakwaan itu.

“Malah anak guam saya telah membayar sepenuhnya wang jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

“Anak guam saya juga telah menyerahkan pasport antarabangsa dan memenuhi syarat yang ditetapkan SPRM iaitu melaporkan diri setiap minggu pertama setiap bulan di pejabat agensi itu,” katanya.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, Rozilah membenarkan keenam-enam pertuduhan ke atas Mohd Saifullah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan jaminan juga dikecualikan dengan mengguna pakai jaminan terdahulu.

Hakim menetapkan sebutan kes bagi enam pertuduhan itu bersekali dengan 18 pertuduhan lalu pada 23 September depan. – MalaysiaGazette