pembukaan cawangan-cawangan dan pusat pembiayaan auto pada hujung minggu tersebut adalah untuk memberi bantuan serta membolehkan peminjam untuk berbincang secara bersemuka bersama pihak bank supaya dapat lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang disediakan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad akan membuka semua cawangan dan pusat pembiayaan auto di seluruh negara pada hujung minggu 19 dan 20 dan 26 dan 27 September ini bagi menawarkan program bantuan kewangan kepada pelanggan yang masih terjejas setelah moratorium pinjaman enam bulan tamat pada 30 September depan.

CIMB dalam kenyataannya berkata, pembukaan cawangan-cawangan dan pusat pembiayaan auto pada hujung minggu tersebut adalah untuk memberi bantuan serta membolehkan peminjam untuk berbincang secara bersemuka bersama pihak bank supaya dapat lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang disediakan.

Ini termasuk pelanggan yang layak untuk mendaftar ke dalam Program Bantuan Bersasar CIMB (TAP) dan juga para peminjam yang tidak terjejas oleh wabak COVID-19 tetapi masih memerlukan bantuan pembayaran.

“Semua cawangan CIMB akan beroperasi mulai jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad di kedua-dua hujung minggu tersebut. Sementara itu, pusat pembiayaan auto CIMB juga akan dibuka dari 9 pagi hingga 1.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua hujung minggu itu bermula dari 19 September 2020.

“Mulai pertengahan September, CIMB akan mengirim surat dan e-mel kepada semua peminjam yang belum menghubungi CIMB sebagai peringatan kepada mereka mengenai bayaran ansuran yang akan bermula pada bulan Oktober,” katanya.

Menurut CIMB, para pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan untuk kemudahan pinjaman/pembiayaan diminta untuk mengunjungi mana-mana cawangan atau pusat pembiayaan auto CIMB dalam tempoh yang dinyatakan bagi membincangkan pilihan bantuan yang ada, termasuklah penstrukturan dan penjadualan semula (R&R).

Pelanggan dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula boleh melayari https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan pilihan bantuan lain yang sedia ada.- MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.