Ketua Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, SAC Datuk Asmawati Ahmad.foto AFFAN FAUZI, 17 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Takut sakit, malu, beban tugas harian dan tiada masa untuk menghabiskan berjamp-jam di hospital sering dijadikan alasan untuk tidak melakukan saringan awal mengesan kanser rahim.

Kini tiada lagi kebimbangan untuk kaum hawa khususnya para petugas wanita barisan hadapan yang sering ‘tercicir’ daripada menjalani saringan untuk melindungi diri daripada penyakit berisiko itu.

Kali ini, seramai 17, 751 pegawai, anggota serta kakitangan awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak akan menjalani ujian saringan kanser rahim menggunakan kaedah baharu menggunakan kit calitan yang memberi keputusan pantas.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, mereka merupakan dalam kalangan B40 yang dipilih dari seluruh negara yang akan terlibat dalam ujian saringan calitan itu.

Katanya, ujian saringan menggunakan kaedah baharu itu hanya mengambil masa 10 minit untuk mengetahui keputusan ujian.

“Kit saringan Virus Papiloma Manusia (HPV) itu memakan kos RM250 hingga RM300 untuk seorang,namun PDRM sumbangan dalam bentuk tajaan daripada Etiqa Cares menerusi program anjuran Rose Foundation dan PDRM

“Kalau ikutkan statistik seramai 10 orang pegawai dan anggota wanita PDRM telah dikesan kanser rahim pada tahun lalu dan tahun ini dan tiga daripadanya telah meninggal dunia.

“Kesibukan sebagai barisan hadapan menjaga urusan harian dan hal rumah tangga menyebabkan pegawai dan anggota kami terabai daripada segi pengurusan kesihatan diri selain mereka malu dan takut untuk menjalani ujian berkenaan sebab takut sakit.

“Tetapi dengan sumbangan kit ujian saringan secara percuma mereka tidak perlu rasa lagi rasa malu mahupun bersusah payah pergi ke hopital tunggu berjam-jam untuk saringan dan keputusan awal kanser rahim,” katanya dalam sidang media selepas hari ke program Frontliner Uniting Againts Cervical Cancer di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Asmawati, sebelum ini program itu dimulakan dari IPK Kelantan dan kali ini seramai 500 orang pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM akan dilibatkan dalam ujian sairngan di ibu negara.

Turut bersama di program berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof.  Datuk Dr. Siti Zawiah Omar, Penasihat Perubatan Teknikal ROSE Foundation Jabatan Obstetrik dan Ginekologi PPUM, Prof. Dr. Woo Yin Ling.

Menurutnya, selepas ini program yang sama akan diteruskan ke IPK Terengganu dan seterusnya negeri-negeri lain.

Ujar beliau, selepas mendaftarkan segala maklumat peribadi setiap individu akan diberikan kit calitan saringan kanser untuk dilakukan secara privasi sebelum keputusan ujian akan di diperoleh dalam masa 10 minit ke telefon bimbit masing-masing.

“Bila mengetahui kanser boleh dirawat, ia memberi semangat untuk kami bahawa masih mampu menyelamatkan pegawai dan anggota wanita kami untuk menjalani ujian ini supaya selamat dari kanser rahim.

“Di Malaysia, kira-kira 80 peratus wanita menjalani ujian itu sekali sahaja iaitu sejurus selepas melahirkan anak,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Yin Ling, saringan itu diadakan untuk mengenalpasti simptom kewujudan virus yang menyebabkan kanser dalam badan pegawai dan anggota PDRM untuk dicegah awal.

Katanya, HPV  sangat normal dalam kalangan 90 peratus populasi lelaki dan wanita namun kebanyakan kes pulih sendiri dalam badan seseorang ketika usia muda.

“Namun sekiranya mereka mencecah 30 tahun dan ke atas, HPV akan bertukar menjadi satu penyakit yang boleh merebak ke rahim wanita yang mana ia akan mengubah lapisan sensitif di pangkal rahim.

“Jadi di situlah kami cuba mengesan virus berkenaan supaya boleh mengambil langkah pencegahan membabitkan kumpulan wanita bersasar yang berisiko itu,” ujarnya.-MalaysiaGazette