Pemandu teksi, V. Balamurugan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan pemandu teksi, V. Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Omar Kutty Abdul Aziz yang mewakili Balamurugan selaku pemohon kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya hari ini.

Omar Kutty berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan tersebut sepatutnya difailkan dalam masa tiga bulan selepas LTTE diwartakan sebagai kumpulan militan pada 2014.

“Balamurugan juga telah lepas bebas daripada tuduhan LTTE,  jadi dia sudah tiada locus standi untuk memfailkan permohonan itu. Mahkamah menolak permohonan tersebut tanpa sebarang perintah terhadap kos,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali bertindak bagi pihak responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Pada 6 Feb lepas, mahkamah memberi kebenaran kepada Balamurugan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman  terhadap Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

Balamurugan, 38, memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 8 Jan lalu, bagi memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 Nov 2014.

Dalam permohonan itu, Balamurugan memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah tersebut tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ultra vires atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Pada 24 Feb lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh melepas dan membebaskan Balamurugan daripada lima pertuduhan berkaitan LTTE selepas dimaklumkan pihak pendakwaan tidak meneruskan kes terhadap tertuduh.

 

— BERNAMA