Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin bercakap pada Majlis Kongres CUEPACS di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2020

KUALA LUMPUR-  Nilai penengah gaji dan upah bulanan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.8 peratus kepada RM2,442 pada 2019 berbanding RM2,308 tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, purata gaji dan upah bulanan juga meningkat 4.4 peratus kepada RM3,224 berbanding RM3,087 pada tempoh yang sama.

Katanya, peningkatan gaji dan upah pada 2019 itu adalah selari dengan prestasi ekonomi Malaysia yang merekodkan pertumbuhan 4.4 peratus pada harga semasa pada 2019.

“Nilai penengah dan purata gaji & upah bulanan untuk pekerja berpendidikan tertiari kekal tinggi, bertumbuh masing-masing pada kadar 6.9 peratus dan 2.0 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada RM3,304 manakala pekerja wanita mencatatkan peningkatan sebanyak lima peratus kepada RM3,108 berbanding tahun 2018.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan pada 2019, penengah gaji dan upah bulanan bagi pekerja di bandar meningkat kepada RM2,565 iaitu pada kadar 6.2 peratus berbanding pekerja di luar bandar meningkat 5.3 peratus kepada RM1,560.

Sementara itu, purata gaji & upah bulanan pula menunjukkan trend yang sebaliknya di mana kadar perubahan peratus gaji & upah di luar bandar lebih tinggi (enam peratus) berbanding pekerja di kawasan bandar (empat peratus) bagi tahun 2019.- MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.