Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek (dua kiri), Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Tuan Haji Abd Rani Lebai Jaafar (tiga kanan) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed (tengah) bersama wakil-wakil syarikat bank pelaburan menurunkan tandatangan perjanjian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Program Sukuk Wakalah Bank Rakyat Dengan Nilai Nominal RM10 Bilion di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR- Bank Rakyat akan menerbitkan Sukuk Wakalah dengan nilai nominal RM10 bilion untuk tempoh 30 tahun melalui sebuah syarikat tujuan khas, Imtiaz Sukuk II Bhd.

Terbitan pertama sebanyak RM500 juta dengan pilihan untuk meningkatkan saiz akan bermula dalam waktu terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata, program sukuk ini bertujuan untuk mempelbagaikan pengurusan liabiliti, selain menstabilkan lagi portfolio bank koperasi itu.

“Kami tidak mempunyai masalah tunai. Kedudukan kecairan kami kukuh tetapi penerbitan sukuk ini adalah untuk mempelbagaikan pengurusan liabiliti dan membolehkan bank memperolehi pendanaan jangka panjang pada kadar yang tetap,” katanya semasa sidang media selepas memeterai perjanjian program sukuk wakalah Bank Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Abd. Rani Lebai Jaafar.

Sukuk dengan penarafan AA2 oleh RAM Rating Bhd. ini dijangka mampu mengurangkan kebergantungan bank kepada pendeposit korporat, sekali gus meningkatkan nisbah peraturan untuk keperluan perniagaan perbankan.

Program sukuk jangka panjang itu distruktur berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Maybank Investment Bank Bhd. dilantik sebagai penasihat prinsipal serta pengatur utama.

Bagi terbitan pertama pula, Bank Muamalat Malaysia Bhd., CIMB Investment Bank Bhd., Maybank Investment Bank Bhd., dan RHB Investment Bank Bhd. dilantik sebagai pengurus utama bersama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast