PUTRAJAYA – Seorang pemilik premis perniagaan dan pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen Harta Intelek Shah Alam hari ini atas kesalahan menjual minyak pelincir tiruan yang menggunakan logo syarikat minyak terkemuka dunia.

Tertuduh yang berumur 34 dan 53 tahun menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki secara bersama bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Mereka juga ditiduh di bawah Seksyen 101(b) akta yang sama iaitu memiliki artikel yang direka secara spesifik untuk membuat salinan cap dagangan berdaftar.

Bagi pertuduhan pertama, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000.00 bagi setiap barangan atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertuduhan kedua, jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebih RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Puan Rofidah Mohamad memutuskan lelaki warga tempatan berumur 53 tahun itu diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin manakala seorang lagi tertuduh lelaki warga tempatan berumur 34 tahun dijamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin.

Kedua-dua tertuduh juga diarahkan menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Rofidah menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, kedua-dua individu itu telah ditangkap pada 15 September lalu menerusi serbuan kira-kira pada pukul 9 pagi menerusi operasi pembanterasan pengedaran minyak pelincir tiruan yang dilakukan oleh sepasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya di sebuah gudang setingkat di Subang Jaya, Selangor.

Katanya, Operasi itu dijalankan hasil risikan dan aduan daripada pemilik cap dagangan berdaftar dan telah menangkap kedua-dua lelaki itu dan hasil pemeriksaan dalam premis telah menjumpai pelbagai jenis minyak pelincir tiruan untuk dijual di pasaran tempatan.

“Kemudian kedua-dua suspek direman selama tiga hari sejak Rabu lalu manakala hasil siasatan mendapati gudang itu dijadikan tempat membuat minyak pelincir bagi kenderaan berat menggunakan jenama syarikat pengeluar minyak terkemuka.

“Terdapat pelbagai jenis minyak pelincir seperti Transformer Oil, Compressor Oil, Truck & Heavy Duty Engine Oil, Greese, dan Slideways Oils untuk kegunaan kenderaan berat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, minyak pelincir untuk kegunaan kenderaan berat terutama lori dan treler itu dipasarkan sindiket di sekitar Lembah Klang pada harga antara RM185 dan RM240.

Tambah beliau, bagi mengelirukan pengguna, sindiket itu turut menampal logo dan pelekat palsu menyerupai syarikat pengeluar minyak terkemuka. – MalaysiaGazette