Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua suspek warga Indonesia yang telah melarikan diri selepas melanggar seorang anggota polis berpangkat Inspektor dalam kejadian pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.10 pagi tadi di bulatan Puncak Perdana Bukit Jelutong, Shah Alam semasa mangsa bertugas pemantauan operasi trafik di kawasan itu.

Mangsa berpakaian preman, menunggang motosikal Honda RS150.

Katanya, Inspektor Ismail Aun berusia 55 tahun merupakan pegawai polis trafik di IPD Shah Alam.

“Setelah selesai pemeriksaan sekatan jalan raya trafik di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, mangsa telah meneruskan perjalanan ke kawasan aduan kesesakan trafik di Bulatan Puncak Perdana.

“Pada masa itu, tiba tiba sebuah kereta jenis Proton Wira warna emas bernombor pendaftaran WHQ 4088 dinaiki oleh dua lelaki disyaki warga Indonesia telah melanggar mangsa dari arah belakang.

“Ketika pengadu terjatuh di atas jalan raya,  pemandu kereta itu terus melarikan diri menghala ke arah Puncak Alam,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, sebelum itu, mangsa melihat kereta dipandu suspek tersebut telah berhenti kerana ditahan oleh anggota trafik di tepi jalan sekatan jalan raya tersebut.

Kejadian turut disaksikan oleh Lans Koperaal Shahar dan anggota-anggota lain yang bertugas di lokasi berkenaan.

Jelas beliau, mangsa mengalami kecederaan di kaki sebelah kanan dan motosikal rosak di bahagian belakang sebelah tepi kanan.

Mangsa telah mendapat rawatan serta pemeriksaan di Hospital Shah Alam selepas mengalami kecederaan di kaki dan kesakitan badan.

“Hasil semakan JPJ, kereta itu didapati didaftarkan atas penama Mopid Norasmad bernombor kad pengenalan 691012-71-5245 dan beralamat di 107, Tingkat bawah Blok 75, Jalan Titiwangsa 24/1, Seksyen 24 Shah Alam.

“Pemilik kenderaan sedang dikesan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan menyeru pemilik dapat tampil membantu pihak polis.

“Kami juga memohon kerjasama awam membantu pihak polis bagi mengesan dan menangkap kedua-dua suspek berkenaan,” tegasnya.

Video Berkaitan :

1 Komen

Comments are closed.