Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Anthony Loke mencabar Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) supaya mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan semua Memorandum Jemaah Menteri berhubung projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT2).

Langkah itu membolehkan semua fakta dan latar belakang projek ini serta ulasan daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara diketahui dan dinilai oleh orang awam.

Bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, ini kerana keputusan yang dibuat mengenai projek itu adalah keputusan Kabinet yang dibuat secara kolektif selepas perbincangan dan perbahasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurut beliau, dalam kes KVDT2, kertas pertimbangan tersebut dibentangkan olehnya selaku Menteri Pengangkutan pada ketika itu.

Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan pula mencadangkan supaya projek tersebut ditender semula.

Namun, kata Loke, majoriti Ahli Jemaah Menteri berpendapat projek tersebut patut dianugerahkan semula kepada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) and Lembaga Tabung Angkatan Tentera (DMIA-LTAT JV) kerana beberapa faktor.

Ia termasuk pengurangan kos yang dipersetujui sebanyak 15%, risiko tindakan undang-undang oleh kontraktor terhadap kerajaan akibat pembatalan kontrak yang telah ditandatangani oleh kerajaan terdahulu, kepentingan LTAT dalam projek tersebut dan projek tersebut boleh diteruskan tanpa kelewatan.

“Antara menteri yang paling lantang menyokong projek tersebut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV ialah seorang menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang masih duduk dalam Kabinet pada hari ini,” katanya

Beliau mengulas tindakan Armada yang menuntut penjelasan Lim Guan Eng atas dakwaan kehilangan kos RM1 bilion dalam projek KVDT 2 di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, bekas Menteri Kewangan itu perlu menjelaskan kerana selepas projek itu disemak semula pada 19 September 2018, nilainya adalah RM3.5 bilion berbanding kos asal RM5.26 bilion yang diputuskan Barisan Nasional (BN).

Loke menyifatkan Armada tidak membuat “kerja rumah” sebelum memanggil sidang media semalam kerana mereka langsung tidak memahami fakta-fakta yang asas dalam isu tersebut yang sudah dijelaskannya berkali-kali beberapa minggu yang lalu selepas isu 101 projek diluluskan secara rundingan terus dibangkitkan di Parlimen.

”Untuk rekod dan berlaku adil kepada Guan Eng, saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Kewangan di bawah pimpinan Lim Guan Eng secara konsisten menyarankan projek tersebut ditender semula dalam semua ulasan mereka kepada Jemaah Menteri.

”Mungkin pihak Armada tidak memahami cara keputusan dibuat dalam Jemaah Menteri. Untuk makluman, keputusan Kabinet perlu dibuat secara kolektif selepas perbincangan dan perbahasan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerajaan PH terdahulu dipimpin oleh Bersatu dan menteri-menteri Bersatu yang berportfolio tinggi, termasuk menteri Ekonomi dan menteri Perumahan. Komen menuduh PH sebenarnya menuduh parti Bersatu, ia menunjukkan betapa lemahnya parti tu. Bersatu ni makin lama makin gila, macam umno 2.0. Dari kena buli umno seminggu sekali, baik cepat-cepat masuk umno, lagi senang.

Comments are closed.