KUALA LUMPUR – Gelang kuarantin adalah tanda yang dipakaikan kepada individu di bawah pengawasan seperti kontak rapat kes positif, pengembara yang pulang dari luar negara atau individu yang berada di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) secara pentadbiran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain gelang berwarna merah jambu, terdapat juga gelang berwarna putih, biru, merah atau kuning yang digunakan untuk membantu individu yang dikuarantin 14 hari.

“Pemakaian warna gelang kepada individu yang perlu dikuarantin tertakluk kepada stok di kawasan setempat dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Tempat dan tarikh saringan dilakukan akan ditulis pada gelang tersebut,” katanya dalam kenyataan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, individu yang telah dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat, kecuali bagi ketua keluarga gelang kuarantin hanya boleh dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat setelah tempoh kuarantin tamat.

“Sekiranya masih terdapat individu dengan gelang kuarantin berada di kawasan umum, laporan kepada pihak polis perlu dilakukan bagi melindungi masyarakat kita daripada risiko penularan Covid-19.

“KKM sangat berterima kasih di atas keprihatinan masyarakat yang mengambil peranan sebagai barisan hadapan (front liner) di kawasan masing-masing yang bertindak melaporkan individu dengan gelang kuarantin yang berada di tempat umum.

“Individu yang ingkar arahan ini boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat di sekelilingnya.

” Kepatuhan individu yang dipakaikan gelang kuarantin untuk kekal berada di rumah sangat dihargai oleh KKM,” katanya.-MalaysiaGazette