Orang ramai kini boleh mendaftar untuk menerima vaksin bagi orang tanggungan melalui aplikasi MySejahtera mulai hari ini.- Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Pekerja atau petugas yang tidak melakukan pengimbasan aplikasi MySejahtera atau merekodkan maklumat peribadi semasa memasuki premis pejabat juga  boleh dikompaun.

Ketua Unit Penguatkuasaan Kesihatan Pulau Pinang, Ong Ang Guan berkata, pihak jabatan kesihatan boleh mengenakan tindakan ke atas pekerja yang tidak memuat turut MySejahtera atau tidak melakukan pengimbasan semasa memasuki pejabat.

“Semua pemilik premis komersial harus menyediakan kod QR untuk MySejahtera dan pekerja yang memasuki tempat berkenaan juga harus melakukan pengimbasan setiap hari.

“Untuk mereka yang tidak melakukan pengimbasan dan tidak mengisi maklumat  peribadi pula, mereka akan dikenakan tindakan,” katanya kepada China Press.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd. Noor memberitahu, pihaknya mengambil tindakan ke atas pemilik premis komersial yang gagal menyediakan kemudahan MySejahtera dan bukannya menyasarkan pekerja.

Polis sebelum ini telah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk memeriksa enam pusat hiburan.

Dua premis perniagaan telah diarahkan tutup selama tujuh hari dalam operasi yang dijalankan manakala 10 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang berjaya dikesan. – MalaysiaGazette