Calon BN N.22 Tanjung Aru, Mohd. Reduan Aklee (kiri) beramah mesra dengan penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Pasar Malam Pekan Tanjung Aru, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 19 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Meskipun sering menerima maklum balas positif daripada pengundi Tanjung Aru, Mohd Reduan Aklee tidak berasa selesa sebaliknya komited melipatganda usaha memenangi hati penduduk di kawasan itu.

Berbaki lebih kurang tujuh hari menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohd Reduan yang juga Ketua Pemuda UMNO Putatan itu berkata, beliau tidak mahu mengambil sikap mudah dengan penerimaan pengundi.

“Pada hari pertama kita sudah selesai jumpa jentera di tujuh PDM di Tanjung Aru. Sekarang cuma kesinambungan, kita akan ulang lawat tempat walaupun sebelum ini sudah pernah pergi.

“Kita teruskan bekerja, menyantuni rakyat dan jumpa rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui semasa membuat Walkabout di Pasar Malam di Pekan  Tanjung Aru hari ini.

Mohd Reduan kelihatan tidak canggung beramah mesra dengan para pengundi yang majoriti mengenalinya setiap kali berkempen.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengundi yang memilih anak jati sepertinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kelak pastinya akan memudahkan penduduk setempat menangani masalah mereka.

“Sebelum ini semuanya daripada luar jadi kali ini BN mempertaruhkan saya anak tempatan, suara-suara orang kampung didengar bahawa orang kampung, anak jati sahaja lebih memahami sentimen dan kemahuan orang kampung,” tambah beliau.

Mohd Reduan berhadapan dengan tujuh pesaing di DUN Tanjung Aru iaitu Rizawani Fiona Heng (PGRS), Jan Chow Yee Fan (bebas), Datuk Junz Wong (Parti Warisan Sabah), Datuk Edward Yong Oui Fah (PBS), Noran Addy Sukiran (PCS), Shaffic Risaib Shah (USNO) dan Datuk Ibrahim Mohd Laiman Diki (LDP).

DUN itu mempunyai pengundi kira-kira15,000 orang dan merupakan antara 17 kerusi panas apabila BN bertembung dengan Parti Bersatu Sabah (PBS). – MalaysiaGazette