Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi suku kedua 2020 berakhir 30 Jun 2020 meningkat berbanding RM12.16 bilion pada suku sebelumnya.

Dana simpanan persaraan itu merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM12.32 bilion pada suku kedua tahun lepas.

Bagi suku kedua 2020, ekuiti menyumbang 54 peratus kepada jumlah pendapatan kasar sebanyak RM8.11 bilion manakala instrumen pendapatan tetap pula menyumbang RM6.17 bilion.

Manakala sektor hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang pula masing-masing menyumbang RM470 juta dan RM370 juta.

Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai, yang merupakan amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Ketua Pegawai KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, peruntukan aset strategik (SAA) yang menjadi panduan firma itu menstruktur pelaburan dan portfolio telah membantu mereka mengharungi separuh pertama tahun 2020 yang sangat tidak menentu.

“Melihat kepada situasi di luar jangkaan ini, kami berpuas hati kerana berjaya mencatat prestasi yang kukuh, di samping mengimbangkan keperluan aliran tunai segera dengan kepentingan jangka panjang untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli KWSP serta pulangan pelaburan yang mampan.

“Di masa hadapan, adalah amat penting bagi KWSP untuk terus melabur dalam aset yang kukuh, khususnya dalam syarikat-syarikat yang telah menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tunku Alizakri, srategi pelaburan ke luar negara yang berpandukan SAA telah membantu menambah nilai prestasi keseluruhan bagi suku tersebut.

Katanya, pada akhir Jun 2020, aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM929.64 bilion dan 30 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara.

Setakat suku kedua tahun ini, sebanyak 39 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan hasil sumbangan pelaburan KWSP di luar negara.

Tambahnya, untuk tempoh separuh kedua 2020, KWSP masih mengambil langkah berhati-hati.

Walaupun semakin banyak negara telah melonggarkan perintah kuarantin dan membuka semula pasaran mereka, vaksin Covid-19 tidak akan siap sedia dalam masa terdekat.

“Kita telah melihat bagaimana negeri Victoria di Australia terpaksa kembali kepada perintah berkurung pada awal Julai lalu. Manakala di New Zealand dan Hong Kong pula, mereka terpaksa mengkaji semula langkah-langkah kawalan yang perlu diambil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette