BUKIT MERTAJAM – Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida ketika empat sahabat tertidur di dalam sebuah kereta dinaiki semasa berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, dekat sini Rabu lepas, semakin stabil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Shafee Abd Samad berkata, keadaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, ketika ini semakin stabil berbanding semalam yang masih kritikal.

“Mangsa masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur dan doktor di sana memantau secara rapi keadaan wanita itu dari semasa ke semasa.

“Pihak polis juga sentiasa mendapatkan maklumat keadaan mangsa dari semasa ke semasa daripada pasukan perubatan di sana, mari kita sama-sama doakan semoga dia cepat sembuh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, katanya, laporan bedah siasat yang diterima polis berhubung tiga sahabat yang meninggal dunia dalam kejadian itu adalah disebabkan terhidu gas karbon monoksida hingga menyebabkan kegagalan pelbagai organ berfungsi.

“Laporan bedah siasat mendapati tiga sahabat itu maut akibat pelbagai organ mereka gagal berfungsi disebabkan terhidu karbon monoksida ketika berada di dalam kereta dinaiki mereka,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal, selepas keempat-empat mereka yang berumur 21 tahun ditemui tidak sedarkan diri di kawasan tempat letak kereta stesen minyak Sama Gagah, dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta itu, dengan cermin tingkap tertutup.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di ICU Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak, pada 4.23 petang Khamis lepas.

Semua pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves, Selangor itu, dikatakan singgah berehat di stesen minyak berkenaan, kira-kira 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.

Mereka ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang sempena Hari Malaysia.

Empat sahabat berkenaan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta berkenaan dalam keadaan enjin masih terpasang oleh bapa Ayuni Shazwani kira-kira pukul 12.30 tengah malam Khamis. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast