Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supt Rajab Ahad Ismail. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warga Nepal di sebuah pondok kebun sayur berhampiran Kampung Bukit Tinggi, Bentong, Pahang awal pagi ini kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh rakan senegaranya seorang pengawal keselamatan.

Ketua Polis Wangsa Maju, Supt. Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya yang menerima panggilan telefon dari orang awam pada pukul 2.40 petang Khamis lalu mengenai pergaduhan melibatkan lelaki warga asing di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Gurney 2, Kuala Lumpur bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi, polis mendapati seorang lelaki  terbaring disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Tambah beliau, mangsa dipercayai diserang dengan menggunakan senjata tajam.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa merupakan warga Nepal yang bekerja sebagai pengawai keselamatan dan tinggal bersama-sama di sebuah unit kondominium yang dijadikan sebagai asrama tempat kerja syarikatnya.

Sebuah khemah yang disyaki tempat persembunyian suspek sebelum polis berjaya menjejaki lokasi dan menangkap suspek warga Nepal itu.

“Mereka tinggal bersama enam orang lelaki Nepal yang lain. Mangsa berumur 27 tahun manakala suspek berumur 30 tahun telah tinggal bersama di unit tersebut lebih kurang enam bulan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Rajab Ahad berkata, menurut keterangan awal saksi, mangsa dan suspek disyaki berada dalam keadaan mabuk dan berlaku pertengkaran kecil yang menyebabkan mangsa ditikam dengan senjata yang tajam.

Suspek kemudiannya panik dan telah melarikan diri, ujar beliau.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihak polis telah menjumpai sebilah pisau yang berukuran 12 sentimeter berhampiran dengan lokasi kejadian dan dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian ini,” katanya.

Menurut Rajab Ahad, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman pada hari ini untuk siasatan lanjut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini untuk menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohd Shukri Bin Abd Razak (016 – 669 1339 ) atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP M Hussin Sollehuddin Bin Zolkifly (017–2446363) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette