MITI approval letter Mohamed Azmin Ali essential services sector
Mohamed Azmin Ali

KOTA KINABALU – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi amaran kepada  Ketua Menteri Sabah supaya tidak sombong dan angkuh terhadap kerajaan persekutuan yang menyumbang kepada pembangunan negeri tersebut.

Beliau mendedahkan pernah membantu Datuk Seri Shafie Apdal dengan meluluskan peruntukan Sabah untuk pembangunan atas permintaan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu pada 2018.

Ketika itu Azmin merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Saya nak dedahkan pada malam ini siapa Shafie Apdal. Beliau adalah munafik dan pembohong sebab pada tahun 2018 bila dia dilantik jadi Ketua Menteri Sabah, orang yang pertama beliau hubungi adalah saya.

“Dia tulis surat kepada saya minta daripada saya sebagai menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu untuk melaksanakan projek-projek kecil di negeri Sabah. Berapa nilainya dia minta? RM110 juta, saya bagi bagi RM110 juta.

“Kemudian dia minta peruntukan pembangunan untuk negeri Sabah, dia kata ‘Azmin saya Ketua Menteri Sabah, tolonglah bangunkan Sabah’ pada tahun 2018. Peruntukan pembangunan Sabah yang saya luluskan dalam Belanjawan (pada tahun itu) RM4.1 bilion,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Semarak PN DUN Petagas, Datuk Seri Arsit Sedi @ Sidik di Bakut View, Putatan malam ini.

Namun kini Azmin berkata, Shafie memusuhi kerajaan persekutuan yang menyumbang kepada pembangunan Sabah yang ditadbirnya lebih dua tahun ini.

Katanya, sumbangan kerajaan persekutuan membuktikan bahawa kerajaan negeri perlu menjalinkan kerjasama dua hala yang baik.

“Oh bila kamu tidak ada wang kamu cari aku, bila datang pilihan raya Sabah for Sabahan, inilah munafik namanya. Itu baru satu contoh.

“Yang tolong bukan Warisan, bukan Shafie Apdal, yang tolong kerajaan persekutuan. Maknanya apa sebagai kerajaan negeri kena kerjasama dengan kerjaan persekutuan.

“Jangan sombong, jangan angkuh, jangan mendabik dada, jangan memecahkan perpaduan rakyat Malaysia, orang Sabah orang yang mahukan perpaduan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Azmin yang kini merupakan Menteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, perpecahan di antara kerajaan persekutuan dan negeri Sabah tidak akan dapat memajukan negeri di bawah bayu itu.

Justeru katanya, tidak perlu bermusuh dengan kerajaan persekutuan.

“Bagaimana nak majukan Sabah kalau berpecah? Ya benar kerajaan persekutuan ada tanggungawab. Kerajaan negeri pun bertanggungjawab menjalin hubungan baik bekerjasama baik dengan kerajaan persekutuan. Bukan Sabah tapi negeri lain negeri lain juga begitu. Kalau kerajaan negeri lain boleh kenapa tidak Sabah,” soal Azmin.

Dalam pada itu, calon PN DUN Petagas Datuk Arsit Sedi @ Sidik yang hadir dalam program berkenaan memberi jaminan akan membantu penduduk sekitar Petagas khususnya yang ingin memulakan perniagaan dengan mencadangkannya kepada kementerian berkaitan. – MalaysiaGazette