Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 522 individu ditahan oleh polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 342 individu telah dikompaun manakala 180 individu direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (363), penjarakan fizikal (81), tidak memakai pelitup muka (36), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (17), gagal menyediakan peralatan/rekod butiran diri (12), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan kukuh (1), premis beroperasi tanpa kebenaran (5), dan tangkapan warga asing tanpa dokumen perjalanan diri (7).

Menurutnya, Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan telah membuat 52,947 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,617 pasukan pematuhan yang melibatkan 11,451 anggota telah membuat pemantauan di 3,475 pasar raya, 4,210 restoran serta 1,189 penjaja, 1,204 kilang, 3,210 bank dan 680 pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah sebanyak 1,021 terminal pengangkutan darat, 195 terminal pengangkutan air serta 281 terminal pengangkutan udara.

Dalam kenyataannya hari ini, Ismail turut memaklumkan Operasi Benteng berjaya melakukan tangkapan melibatkan 180 pendatang asing tanpa izin, lima penyeludup dan seorang tekong.

Sebanyak lima kenderaan darat telah dirampas.

Katanya, sebanyak 89 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan polis (67 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR). – MalaysiaGazette