Beginilah keadaan kereta yang dihempap struktur konkrit ketika melalui kawasan projek pembinaan SUKE di Jalan Lingkaran Tengah 2, berhampiran Terminal Bas Bersepadu pada 19 September lalu.

PUTRAJAYA – Sepasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan & Putrajaya diarah menjalankan siasatan komprehensif bagi mengenalpasti punca kejadian dinding parapet jatuh dari struktur binaan lebuh raya di tapak Projek SUKE, Pakej CA2 sekitar 5.45 petang semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, pasukan itu juga akan menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan 1994.

Katanya, JKKP WP Kuala Lumpur & Putrajaya telah mengeluarkan arahan serta merta supaya  menghentikan sebarang aktiviti kerja pemasangan dinding parapet tersebut bagi tujuan siasatan.

“Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi kewajipan setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau dalam perkembangan sama menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada mangsa yang cedera akibat kejadian tersebut.

Selain itu, tambah beliau, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 ataupun OSHCIM juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri pembinaan termasuklah klien, pereka bentuk dan kontraktor, memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing di tempat kerja bermula daripada peringkat rekabentuk projek pembinaan.

“Kementerian memandang serius setiap kemalangan dan penyakit yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan.

“Kementerian menerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP sentiasa komited untuk terus meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Negara ini termasuk di dalam sektor pembinaan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette