Kawasan yang dinaiki air akibat hujan lebat semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Paip utiliti yang dipasang di dalam longkang saliran tanpa kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara punca banjir kilat di Lebuh Ampang baru-baru ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata, pihaknya telah mengenal pasti masalah itu dan mendapati longkang yang diselenggara oleh DBKL mempunyai paip utiliti lain yang dipasang tanpa kebenaran.

Pemilik utiliti yang memasang paip di sekitar kawasan itu telah mengurangkan kapasiti pengaliran air kira-kira 30 hingga 40 peratus dan apabila hujan lebat, ia secara tidak langsung menyebabkan banjir kilat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum Sambutan 50 Tahun Rukun Negara: Kepercayaan kepada Tuhan Memupuk Perpaduan Rakyat Sejahtera di Menara PGRM di sini hari ini.

Beliau berkata, DBKL akan mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan perkara itu secepat mungkin dan pihaknya juga telah meminta maklumat daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan tapak pembinaan bagi memastikan tiada pembinaan dilakukan tanpa mendapat kelulusan DBKL.

Terdahulu berucap merasmikan forum itu, Santhara berkata, kelima-lima prinsip Rukun Negara dapat melahirkan masyarakat berjiwa patriotik dan cintakan tanah air serta saling melengkapi antara satu sama lain.

“Sekiranya kita menghayati Rukun Negara, kita boleh terus bersatu padu. Pepatah Melayu ada sebut, bersatu teguh bercerai roboh, amalan bersatu padu dapat mengeratkan masyarakat dan membina negara yang gemilang dan terbilang,” katanya.

Forum anjuran SEDAR Institute itu menampilkan Penasihatnya Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sebagai moderator dan lima panel jemputan.

Lima panel itu ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Archbishop Julian Leow Beng Kim; Penolong Setiausaha Agung Kebangsaan Persatuan Malaysia Hindu Sangam Gowri PS Thangaya; Presiden Persekutuan Pertubuhan Agama TAO Malaysia Daozhang Tan Hoe Chieow; dan Ketua Jabatan Kebajikan dan Amal Persatuan Buddhist Malaysia Venerable Sing Kan.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast