Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan laut petang tadi selepas menerima laporan daripada saksi memaklumkan dia bersama rakannya ternampak sebuah pesawat ringan dipercayai telah terhempas sebelum terjunam ke dalam laut berhampiran Tanjung Bungah, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata sehingga pukul 6.30 petang tadi pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terjatuh itu.

“Operasi dihentikan berikutan cuaca semakin gelap dan kemungkinan ia akan disambung esok jika kami mendapat maklumat terbaru mengenai kejadian tersebut. Polis juga setakat ini tidak menerima laporan berhubung pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, dua lelaki itu memaklumkan mereka ternampak pesawat berwarna gelap tersebut terhempas kira-kira 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan  kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Katanya beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian pesawat terhempas itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Selain itu, polis juga meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada juruterbang pesawat agar tampil membuat laporan polis kerana setakat ini kami memang tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial seorang lelaki membuat laporan polis selepas dia dan rakannya ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam terus ke dalam laut ketika mereka berada di kawasan pantai di Tanjung Bungah hari ini.

Menurut saksi itu, kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan terdapat asap keluar daripada pesawat berkenaan sebelum ia terjunam ke dalam laut.

Berikutan itu, orang ramai mula membanjiri kawasan pantai tersebut untuk melihat operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa di kawasan laut termasuk Angkatan Pertahanan Awam. – MalaysiaGazette