Mas Ermieyati Samsudin ketika majlis penyampaian replika kepada wakil-wakil koperasi.

TERENGGANU – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukan RM1 juta berbentuk bantuan insentif promosi dan pemasaran serta penganjuran program pemulihan sokongan bermanfaat buat lebih 80 koperasi terbabit dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri.

Inisiatif itu disalurkan menerusi Program Pelan Pemulihan Ekonomi Koperasi : Insentif Promosi Dan Pemasaran Sektor Ekonomi Utama Pelancongan Dan Penjagaan Diri (Pulih) yang bertindak untuk membantu koperasi yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sehingga September 2020, SKM
meluluskan bayaran insentif pulih berjumlah RM525,500 kepada 65 koperasi di negara ini.

Katanya, bagi Terengganu pula, terdapat sembilan koperasi diluluskan untuk bayaran insentif pulih dengan melibatkan peruntukan sebanyak
RM70,000.

”Kementerian mensasarkan sumbangan perolehan koperasi berjumlah RM100 bilion menjelang 2030 seiring peranan sektor koperasi sebagai
instrumen utama untuk melonjakkan keusahawanan dalam kalangan B40.

”Antara objektif lain Pulih termasuk membantu koperasi berdepan cabaran ekonomi semasa dalam jangka masa pendek selepas
pembukaan semula ekonomi bagi sektor pelancongan dan penjagaan diri.

”Program ini juga dapat mendorong dan membantu koperasi untuk menjana semula aktiviti serta meningkatkan pendapatan menerusi
bantuan promosi dan pemasaran dan membantu kelangsungan koperasi bagi kedua-dua industri ini,” katanya sempena Program
Eksplorasi Koperasi Terengganu dan Pelancaran Program Pulih di sini.

Pada majlis itu, sembilan buah koperasi menerima insentif berjumlah RM70,000 daripada negeri Terengganu.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, gerakan koperasi kini berada dalam era globalisasi dengan pasaran semakin mencabar.

Katanya, Medac juga komited untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan sosio-ekonomi inklusif, seimbang dan mapan.

Justeru, Gerakan Koperasi digesa supaya menjadi lebih kreatif, berinovasi, berani menceburi dan merebut perniagaan berskala besar,.

”Program ini mewujudkan produk dan perkhidmatan baharu bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui perusahaan berteraskan
inovasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette