Proses pengambilalihan tanah tiga kondominium Highland Tower di Hulu Klang kini dalam fasa peringkat akhir sebelum ia akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini.- Gambar FB.

AMPANG – Proses pengambilalihan tanah tiga kondominium Highland Tower di Hulu Klang kini dalam fasa peringkat akhir sebelum ia akan dirobohkan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan peruntukan berjumlah RM8.9 juta untuk pembayaran bagi proses pengambilalihan tanah itu dari kerajaan Selangor.

“Sekarang kita sedang menguruskan proses pengambilalihan tanah yang mana KPKT harus membelanjakan RM8.9 juta sebagai bayaran.

“Selepas tanah itu diambil alih dari kerajaan negeri ia akan menjadi tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) iaitu di bawah kerajaan Persekutuan dan akan diteruskan dengan pelan asal kawasan itu dijadikan taman rekreasi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berucap pada Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka Fabrik Kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Kawasan Parlimen Ampang di Sekolah Kebangsaan Ampang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 SEPTEMBER 2020.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu perobihan Highland Towers yang menjadi lokasi berhantu sejak tragedi salah satu blok runtuh dalam kejadian pada 11 Disember 1993.

Kata Ahli Parlimen Ampang itu lagi, kementeriannya masih belum menerima dana tersebut dan sedang menunggu proses penerimaannya.

Katanya, selepas wang itu diterima dan pembayaran dilakukan kepada kerajaan Selangor, proses seterusnya iaitu kerja perobohan ketiga tiga blok usang dan seram itu akan dirancang oleh kementerian..

Menurutnya, pihaknya berjaya menjejaki pemilik asal kondiminium berkenaan untuk menyelesaikan proses pengambilalihan serta pembayaran pampasan dan sebagainya menerusi beberapa siri perbincangan sejak tahun 2019.

“Kita sudah bertemu semua pemilik-pemilik asal Highland Towers itu dan melaksanakan sesi libat urus tahun lalu dan menyelesaikan segala proses pampasan serta proses insolvensi serta pihak bank daripada segi perundangan dan sebagainya yang menjadikan isu ini rumit selama ini.

“Kerajaan Selangor juga berperanan dalam perkara ini dan insyallah segalanya berjaya diselesaikan sehinggalah pengambilalihan tanah juga.

“Maka menjelang akhir tahun ini, kita boleh saksikan perobohan rasmi ketiga-tiga blok ‘hantu’ itu dan kemudian taman rekreasi akan dibangunkan sepertimana dirancang sebelum ini, bukannya bangunan,” tegasnya. -MalaysiaGazette