PUTRAJAYA- Nestle (Malaysia) Bhd. memperuntukkan RM18 juta bagi program penanaman semula hutan atau Project Releaf untuk tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, syarikat pengeluar makanan dan minuman terbesar dunia itu berikrar untuk menanam tiga juta pokok dalam tempoh berkenaan dengan peruntukan kira-kira RM6 juta setahun.

Jelasnya, pokok-pokok yang bakal ditanam adalah jenis tempatan yang bukan sahaja memenuhi janji global syarikat untuk mencapai Pelepasan Gas Rumah Sifar Bersih menjelang 2050 malah apa yang lebih penting adalah menyediakan makanan dan ekosistem kepada hidupan liar.

Projek tersebut juga katanya adalah untuk membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tempatan tentang isu-isu alam sekitar dan memberikan pendapatan tambahan kepada penduduk sekitar.

“Memang Nestle sangat bergantung kepada kelapa sawit namun projek ini tidak mempunyai kaitan dengan isu-isu kelapa sawit kerana kami mematuhi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Program ini dikira sebagai tambahan kepada MSPO,” katanya semasa sidang media selepas majlis perasmian Project Releaf oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah di sini hari ini.

Tambah Juan, Nestle Malaysia akan menanam tiga juta pokok di seluruh Kinabatangan Wetlands dan kawasan Pemulihan Hutan Merisuli di Sabah.

Mereka juga akan menanam pokok di hutan simpan sepanjang Lingkaran Hutan Tengah di semenanjung.- MalaysiaGazette