Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 16,877 orang pengundi akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok di 55 Pusat Mengundi Awal.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata, Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8 pagi.

Jumlah pengundi awal ini terdiri daripada 7,487 anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan,” kata Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.

SPR juga akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR.

Katanya, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada
26 September 2020 bermula jam 4 petang.

Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing. – MalaysiaGazette