PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneruskan Program Penghijauan melalui Kempen Penanaman 100 juta pokok untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77 pada 8 September lalu mengumumkan program berkenaan akan dimulakan pada tahun 2021.
Program berkenaan penting katanya, bagi meningkatkan kesedaran semua pihak untuk menjaga hutan demi kesejahteraan dan kualiti hidup.
“Justeru, saya mengalu-alukan penyertaan semua pihak termasuk kerajaan negeri, kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat umum untuk menyokong dan bekerjasama dengan KetSA dalam usaha menghijaukan bumi Malaysia di bawah kempen ini,” katanya ketika merasmikan Projek Releaf oleh Nestle (Malaysia) Bhd. di sini hari ini.
Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini memberi komitmen untuk melaksanakan program penanaman 100 juta pokok bermula 2020 hingga 2025.
Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli ketika itu, Datuk Dr. Xavier Jayakumar pada Januari lalu memaklumkan program berkenaan bakal dilancarkan pada 21 Mac lalu.
Bagaimanapun berlaku perubahan kerajaan pada akhir Februari menyaksikan Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.
Dalam pada itu, tegas Shamsul Anuar, amalan pengurusan hutan secara berkekalan akan terus menjadi teras utama dalam sektor perhutanan di semua negeri.
Di samping itu, penggunaan hutan sebagai tempat rekreasi telah mula berkembang kerana keindahan alam semulajadi menjadikan ia produk eko-pelancongan negara.- MalaysiaGazette