Suhakam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memantau pilihan raya negeri ke-16 di Sabah pada 21 hingga 26 September ini berdasarkan prinsip hak asasi manusia dan demokrasi.

Pasukan Suhakam yang terdiri daripada lebih kurang 30 orang termasuk pesuruhjaya, kakitangan dan sukarelawan akan menjalankan pemantauan di beberapa kawasan pilihan raya negeri di Sabah, termasuk Matunggong, Bandau, Karambunai, Darau, Kepayan, Moyog, Membakut, Kuala Penyu, Sook, Nabawan, Gum-Gum, Sungai Manila, Kemabong, Melalap, Bugaya, Sulabayan, Senallang, Kukusan, Tanjung Batu, Pantai Dalit, Sulaman, Inanam dan Api-Api.

Sehubungan itu, Suhakam mengalu-alukan maklumat daripada para pengundi berhubung segala bentuk pelanggaran peraturan pilihan raya dalam tempoh proses pilihan raya negeri .

Pengundi boleh menghubungi pejabat SUHAKAM Sabah di talian 088-317405 atau 019-324 5650.

Menurut Suhakam, ia akan melaporkan penemuan awal pemantauan tersebut kepada umum pada 27 September 2020. – MalaysiaGazette