LONDON – Britain akan menyaksikan kenaikan kadar kematian  akibat Covid-19 dalam beberapa minggu ini kecuali tindakan segera diambil untuk menghentikan gelombang kedua wabak tersebut.

Setakat ini angka korban akibat Covid-19 di United Kingdom adalah 41,788 orang, tertinggi di Eropah dan yang kelima terbesar di dunia.

Kes jangkitan baharu Covid-19 meningkat sekurang-kurangnya 6, 000 setiap hari di Britain, menurut data.

Malah kemasukan ke hospital juga bertambah dua kali ganda setiap lapan hari dan sistem ujian kian meningkat.

Chris Whitty, Ketua Pegawai Perubatan Kerajaan dan Ketua Penasihat Saintifik, Patrick Vallance, mengingatkan jika wabak ini dibiarkan, ia semakin sukar ditangani.

“Sekiranya ini berlanjutan … jumlah kematian secara akibat Covid-19 akan terus meningkat, berpotensi berada pada keluk melonjak. Itu bermaksud ia berganda dan berganda dan berganda lagi.

“Jika kita tidak melakukan langkah-langkah pencegahan yang cukup, virus ini akan terus menular dan akhirnya ia akan menjadi masalah yang sukar, kata Whitty.

Virus ini merebak ke seluruh wilayah di negara ini dan kurang dari 8% populasi mempunyai antibodi terhadap virus, walaupun di London sekitar 17% penduduk mungkin mempunyai antibodi, tambah Vallance.

Kepantasan dan tindakan sangat diperlukan, kata Vallance dan Whitty.

Menjelang musim sejuk yang semakin hampir, mereka menjangkakan masalah Covid-19 akan menghantui penduduk Britain sekurang-kurangnya enam bulan lagi.

Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock semalam memaklumkan pelaksanaan sekatan baharu.

Kerajaan mahu melarang sama sekali aktiviti sosial tetapi sekolah dan banyak tempat kerja akan tetap terbuka, katanya.

Ketua pegawai perubatan untuk England, Scotland, Wales dan Ireland Utara pula mengesyorkan keempat-empat negara meningkatkan tahap amaran Covid-19 kepada “Tahap 4” – iaitu wabak sedang menular; jangkitan tinggi atau meningkat secara pantas.

Perdana Menteri Boris Johnson memberitahu para pemimpin dari tiga negara itu bahawa peningkatan kes Covid-19 adalah “kebimbangan besar” dan beliau komited untuk bekerja dengan pihak pentadbiran mereka untuk mengatasi virus tersebut.

Johnson dijangka mengumumkan had operasi semua pub, bar dan restoran sehingga jam 10 malam di Parlimen hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast