Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (kanan) bergambar kenangan bersama peserta pada Sesi Libat Urus Penggiat Industri Pembinaan di Kompleks Kerja Raya, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu dana daripada Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan isu 46 hospital daif di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu,
peruntukan yang dipohon bagi tujuan itu akan dimasukkan ke dalam projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata, disebabkan langkah menyelesaikan isu berkenaan memerlukan dana yang besar ia perlu dipohon menerusi rancangan di bawah program tersebut.

“Sekarang ia berada di bawah jawatankuasa bersama antara KKM yang sudah dibuat dan dikenalpasti. Ia sudah peringkat KKM untuk mencari dana.

“Jadi, ia akan dapatkan dana dari Kementerian Kewangan (MOF) untuk dapatkan permohonan nanti di bawah RMK-12,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus penggiat industri bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed di sini hari ini.

Fadillah menjawab soalan mengenai perkembangan isu berkenaan sebagaimana pernah diberitahu oleh beliau pada Julai lalu.

Hospital daif yang berusia 50 tahun ke atas diberi perhatian kerana berdepan dengan risiko kebakaran, katanya.

Dalam perkembangan sama Fadillah berkata, ketika ini kementeriannya mahu menentukan keutamaan bagi pelaksanaan penyelesaian terhadap masalah yang berlaku.

Namun, semua itu katanya, bergantung kepada peruntukan yang bakal diperoleh oleh pihak KKM. – MalaysiaGazette