Calon Perikatan Nasional DUN Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho melawat kawasan bersama penduduk kampung ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Sungai Lahat-Lahat, Pulau Sebatik, Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

TAWAU – Majoriti pengundi di Pulau Sebatik di sini mahu kerajaan negeri yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi mengutamakan pembangunan infrastruktur di kawasan mereka.

Pembangunan yang diharapkan termasuk keperluan asas dan mereka sekurang-kurangnya tidak lagi perlu menaiki bot ke bandar Tawau setiap masa.

Seorang penduduk, Jupatli Mailaji, 66, pembangunan yang mereka mahu termasuklah keperluan pasukan keselamatan seperti balai polis kerana kawasan itu berhampiran dengan sempadan negara lain.

 Jupati Mailaji.foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

“Di sini tidak ada pondok polis dan klinik. Dua-dua fasiliti itu belum ada di kampung ini dan ini yang penting sekali. Sekarang kalau mahu berurusan kena naik bot ke bandar Tawau untuk mendapatkan perkhidmatan kedua-dua ini, susah.

“Seboleh-bolehnya bekalkanlah bot kecemasan buat penduduk di sini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini semalam.

Menceritakan pengalamannya, Jupatli berkata, dua tahun lalu anaknya sendiri menghadapi kesukaran untuk bersalin apabila pagar jeti di Tawau ditutup.

“Pernah dua tahun lalu pergi ke bandar sebab anak nak bersalin, sampai jam 4 pagi dan pengkalan sudah tutup pagar,” katanya.

Bagi Abd Fitir Tahir, 42, jurang perbezaan amat ketara di antara Pulau Sebatik dengan bandar Tawau walaupun cuma 15 minit dengan menaiki bot.

Abd Fitir Tahir. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

“Kami pemuda di Pulau Sebatik ini perlukan kemudahan seperti jalan dan pekerjaan seperti nelayan. Kami juga perlu sekolah untuk anak-anak kami.

“Paling penting perhubungan jalan darat untuk kampung ke kampung untuk hantar anak sekolah dan tingkatkan ekonomi di sini.

“Kemudahan seperti itu yang kami perlukan dan sudah lama menunggu. Kalau terlaksana syukur. Alhamdulillah,” katanya.

Seorang lagi pengundi yang berusia 60 tahun, Masaji Tammal pula berkata, kemudahan seperti elektrik dan sekolah sudah ada di pulau itu namun jaringan jalan berturap masih belum mencukupi.

Masaji Tammal. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

“Yang paling perlu di sini kami memerlukan jalan yang elok, air dan balai polis malah klinik pun tidak ada. Rumah kami juga perlu diperbaiki kerana apabila hujan air akan tiris.

“Elektrik sudah ada tapi air tidak cukup pula,” ulas Masaji.

Sama seperti Jupatli, Masaji turut berkata, kemudahan seperti balai polis dan klinik sangat-sangat diperlukan kerana jika penduduk sakit mereka terpaksa pergi ke bandar Tawau dan memakan masa kerana menaiki bot.

Sementara itu, masalah berkenaan diambilkira oleh calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho yang melawat kawasan itu baru-baru ini.

Dalam siri kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, beliau bertemu dengan penduduk kampung ketika sesi walkabout dan akan berusaha membawa suara mereka kepada kerajaan sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.- MalaysiaGazette