KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 36 tahun disyaki mencampak seekor kucing yang memanjat cermin hadapan keretanya dalam kejadian semalam dirakam keterangan oleh polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, tindakan itu menyusul selepas video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 0.55 saat tular dalam media sosial sejak malam tadi berkenaan kejadian itu.

Katanya, hasil penelitian lanjut mendapati kejadian itu berlaku di lot parkit deretan kedai di Jalan Rejang, Setapak.

“Video yang tular ini memaparkan tindakan seorang lelaki melempar seekor kucing yang pada ketika itu sedang memanjat cermin hadapan keretanya.

“Tindakan lelaki itu ternyata mengundang kecaman netizen kerana perbuatan tersebut dilakukan secara sedar dan boleh menyebabkan kucing tersebut cedera serta mungkin mengalami pendarahan dalaman akibat hentakan kuat ke lantai.

“Pada jam 11.30 pagi tadi, suspek seorang lelaki Cina telah hadir ke Balai Polis Setapak
untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek tidak mempunyai apa apa rekod jenayah lampau dan kini dalam proses memberikan keterangan lanjut kejadian kepada pegawai penyiasat kes.

Menurutnya, polis sedang menyiasat motif kejadian itu di bawah undang-undang yang telah diperuntukkan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

“Perbuatan menzalimi haiwan apabila disabitkan oleh mahkamah akan dikenakan denda RM50,000 atau penjara untuk tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Polis menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi Inspektor Siti Aisyah Mohd Nor di talian 013-933 8214 atau  Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di 017–713 4705.

Turut boleh dihubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan :