Ketua Perhubungan UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bercakap pada sidang media khas mengenai pencalonan beliau untuk bertanding jawatan Presiden UMNO di kediamannya di Langgak Golf, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JUN 2018
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat dan tidak boleh memandai-mandai mahu menubuhkan kerajaan baharu tanpa diminta oleh Yang di-Pertuan Agong.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, meskipun memiliki Surat Akaun Bersumpah (SD) lebih daripada separuh bilangan ahli Dewan Rakyat, seseorang itu tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada atau menubuhkan kerajaan baharu.

“Sebenarnya, orang politik terutama sekali Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat walaupun memiliki Surat Akaun Bersumpah (SD) lebih daripada (separuh) bilangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ini semua tidak bermakna.

“Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri untuk mengundi dan tidak boleh dilakukan melalui proksi atau diwakili SD.

“Perdana Menteri mesti menghadap Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan dan memohon sama ada untuk Agong membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya umum (PRU) atau melantik Ahli Parlimen lain yang Tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat.

“Terpulang kepada Agong.

“Ahli-ahli Parlimen tidak boleh sesuka hati masing-masing walaupun mendakwa mempunyai bilangan penyokong yang cukup.

“Pandai-pandai hendak menubuhkan kerajaan tanpa dijemput oleh Agong untuk berbuat demikian. Itulah caranya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan sidang media dan mendakwa telah mempunyai cukup bilangan penyokong dalam kalangan Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Bagaimanapun, berbeza dengan langkah Sheraton pada Februari lalu yang mana menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan ketika kemuncak krisis, Tan Sri Muhyiddin Yassin setakat ini tidak menunjukkan sebarang kemungkinan untuk melepaskan jawatan beliau.

Malah kira-kira dua jam selepas sidang media Anwar, beliau menyampaikan perutusan khas Kita Prihatin, iaitu pakej rangsangan tambahan untuk membantu individu yang terjejas akibat Covid-19.

Malam ini, Muhyiddin turut turun berkempen dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra DUN Luyang di Kota Kinabalu, Sabah.- MalaysiaGazette