Beberapa buah kereta yang terbiar dan tidak dituntut oleh pemilik di sebuah bengkel kereta di Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 SEPTEMBER 2020.

HULU LANGAT – Melihat jumlah kereta yang banyak di bengkel ini di sini, pastinya ramai yang lalu membayangkan perniagaan pemiliknya maju dan berjaya.

Apa tidaknya, ini kerana jumlah kereta yang banyak sentiasa tersedia dan berada di merata-rata lokasi bengkel.

Namun lain cerita rupanya kerana kenderaan itu yang kebanyakannya sengaja tidak diambil oleh pemiliknya atas pelbagai alasan.

Lebih mengejutkan, ada kereta yang tidak diambil pelanggan lebih tiga bulan hingga tiga tahun dan terbiar begitu sahaja.

Sebuah kereta yang terbiar dan tidak dituntut oleh pemilik di sebuah bengkel kereta di Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 SEPTEMBER 2020.

Pengurus bengkel, Zulzaidi Harun, 46, berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain membiarkan kereta milik pelanggannya tersadai di parkir berikutan kekangan tempat.

Jelasnya, kebanyakan pelanggan meninggalkan kenderaan mereka di bengkel itu namun ia tersadai kerana ingin mencari alat ganti sendiri kerana sebut harga kos untuk membaiki dikatakan mahal.

“Jadi mereka ambil keputusan untuk letak kereta mereka di bengkel untuk sementara waktu. Tapi lama-kelamaan mereka biarkan ia tersadai di sini disebabkan tiada duit untuk baiki atau alat ganti terlalu mahal.

“Oleh kerana ruang bengkel terhad, kita terpaksa letak kenderaan rosak ini di luar bengkel dan ini seolah-olah menunjukkan kepada orang luar bengkel ini sentiasa dipenuhi kereta pelanggan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengurus bengkel kereta, Zulzaidi Harun bercakap mengenai beberapa buah kereta yang terbiar dan tidak dituntut oleh pemilik di sebuah bengkel kereta di Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 SEPTEMBER 2020.

Zulzaidi yang bekerja dengan bengkel itu selama 28 tahun berkata, dia pernah meminta pelanggannya untuk mengambil kembali kenderaan tersebut namun mereka enggan dan memberi alasan masalah kewangan.

“Mereka sanggup biarkan kereta-kereta ini berhujan dan berpanas. Akhirnya tersadai dan kesannya akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.

“Enjin kereta mungkin tidak rosak sangat namun bahagian dalaman seperti wayar yang jadi lebih teruk dan mungkin digigit tikus yang menyebabkan kerosakan yang lebih serius.

“Malah aksesori dalaman juga boleh reput kerana berada dalam  cuaca hujan dan panas. Sebenarnya paling elok, kereta tidak bergerak ini hanya dalam tempoh sebulan sahaja,” katanya.

Pengurus bengkel kereta, Zulzaidi Harun melihat beberapa buah kereta yang terbiar dan tidak dituntut oleh pemilik di sebuah bengkel kereta di Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 SEPTEMBER 2020.

Bagi mengatasi masalah itu, Zulzaidi memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan notis peringatan kepada pelanggan agar mengambil kenderaan dalam tempoh sebulan selepas disiapkan.

Jelas beliau, jika melebihi tempoh itu, setiap kenderaan akan dikenakan caj parkir dan urusan penjagaan sebanyak RM1 sehari.

Katanya, bagi kenderaan yang melebihi tempoh enam bulan yang tidak dituntut, pihaknya akan menjual dan melelong atau komponen dalam dijual kepada orang ramai.

“Notis yang sama turut diberikan kepada pelanggan sedia ada yang membiarkan kereta dalam tempoh yang lama di sini. Sebenarnya pihak kami sering menggunakan budi bicara untuk membantu pelanggan namun seolah-olah segelintir pemilik kenderaan suka mengambil kesempatan.

“Jika berdepan masalah kewangan, kami boleh mebaikinya secara beransur mengikut kemampuan mereka. Namun bila tidak cukup bajet, kereta terus ditinggalkan di sini selepas memberi janji akan kembali jika wang sudah mencukup atau membeli sendiri barang alat ganti sendiri yang lebih murah.

“Selepas ini juga jika ada pelanggan yang datang membawa kereta untuk dibaiki dan selepas sebut harga diberikan dan tidak mampu, mereka perlu membawa balik kenderaan mereka itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Pengurus bengkel kereta, Zulzaidi Harun menunjukkan notis peringatan untuk pemilik kereta semasa bercakap mengenai beberapa buah kereta yang terbiar dan tidak dituntut oleh pemilik di sebuah bengkel kereta di Hulu Langat, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 23 SEPTEMBER 2020.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast